CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Monday, April 26, 2010

PERMATA KALBU YANG DITUNGGU...

Anakku Muhammad Idzham,


video


Kaulah cahaya permata bonda yang pertama.  Idzham, kau telah dilahirkan pada 31 Januari 2001 di HUKM, Kuala Lumpur jam 8.30 pagi.  Setelah hampir sembilan bulan ibu mengandungkanmu,  akhirnya kau telah selamat dilahirkan secara pembedahan.  Memang waktu itu amat menakutkan ibu, maklumlah Idzham anak sulung dan ibu belum pernah merasai bagaimana peritnya untuk melahirkan seorang anak. 

Pada tarikh 29 Januari 2001 jam 9.00 malam, ibu berasa seperti datang bulan.  Terdapat darah keluar semasa ibu membuang air kecil dan  kesakitan di pinggang mula terasa.  Ibu telefon ayah yang ketika itu berada di luar rumah.  Ibu maklumkan apa yang terjadi kepada ayah, dan ayah pun berkata mungkin itu tanda-tanda akan  melahirkan anak.  Setelah ayahmu sampai ke rumah dia terus mengajak Ibu pergi ke hospital.  Ibu mengambil beg yang berisi kain batik, baju sejuk dan juga baju bayi dan keperluan lain untuk bayi yang ibu telah belikan sejak awal ibu mengandung untuk Idzham guna nanti apabila lahir kelak. Terasa takut dan kecut di hati ibu, bagaimanakah rasa kesakitan untuk melahirkan anak.  "Ya Allah ampunlah dosaku yang telah aku lakukan secara sedar mahupun tidak sedar.  Panjangkanlah umurku agar aku dapat membuat pahala sebanyak-banyaknya yang selama ini aku selalu mengabaikannya."  Ibu  mula mengucap dan berzikir untuk mententeramkan jiwaku yang sedang berkocak. Ibu membaca sebanyak-banyaknya doa Nabi Yunus, menurut kata orang tua-tua untuk memudahkan ketika melahirkan anak.

Sebelum bertolak ke hospital pada malam itu, ibu memohon ampun dan maaf kepada emak ibu yang sememang duduk bersama ibu ketika itu. Sampai sahaja di hospital, ayah memaklumkan kepada jururawat tentang tanda-tanda yang ibu akan melahirkan anak.  Jururawat mengarahkan ibu masuk ke dalam bilik dan menyuruh Ibu baring di atas katil sementara menunggu doktor datang.  Ibu pun baring sambil memandang di sekeliling bilik tersebut. Tiba-tiba berderau darah Ibu, di sebelah katil ibu yang hanya dipisahkan sekeping langsir kelihatan darah bertaburan di bawah katil bersebelahan katil ibu.  Terus hilang sakit ibu ketika itu yang baru rasa hanya suam-suam kuku (agaknya kot).  Apabila doktor datang dan memeriksa keadaan Ibu dan memaklumkan bahawa laluan untuk bayi keluar baru buka 2 cm.  Katanya lambat lagi.  Tapi doktor tersebut menasihatkan agar Ibu perlu  dimasukkan ke wad bersalin.  Pada keesokan harinya,  ibu tidak lagi berasa sebarang kesakitan, mungkin terperanjat melihat darah yang jatuh di lantai malam tadi. Bila ibu tidak merasai sebarang kesakitan untuk bersalin, jururawat memasukkan pil ke dalam faraj ibu agar ibu cepat berasa sakit untuk bersalin.   Tetapi ibu masih tidak berasa sakit hinggalah sampai ke petang. 

Jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang.  Kesakitan mula datang kembali di pinggang ibu.  Darah juga keluar semakin banyak.  Kebimbangan datang kembali.  Ibu memberitahu jururawat keadaan yang berlaku.  Jururawat berkata doktor tidak ada ketika itu, dan menyuruh ibu menunggu.  Rasa sakit semakin terasa, Ibu tidak putus-putus membaca doa Nabi Yunus dan apa sahaja yang ibu ingat ketika itu.

Akhirnya jam 8.30 malam doktor datang juga dan ibu disuruh pergi ke bilik khas.  Ia menyuruh ibu baring di atas katil dan setelah diperiksa, akhirnya  terasa air panas keluar hingga basah punggung dan peha ibu. Itu bermakna ketuban telah dipecahkan.  Selepas itu, ibu diusung ke bilik bersalin.

Di bilik bersalin, ibu pun dibaringkan di sebuah katil.  Sekali lagi ibu terpandang darah penuh di peha seorang wanita yang baru lepas melahirkan anaknya.  "Ya Allah, permudahkan aku melahirkan anakku".  Tak putus-putus aku membaca lagi doa Nabi Yunus.

Kesakitan di ari-ari dan dipinggang ibu semakin kerap.  Dalam 1-2 minit kesakitan datang dan pergi berulang-ulang.  Jururawat yang memeriksa mengatakan laluan bayi baru buka 4 cm sahaja.  Badan ibu sudah berpeluh-peluh dan basah kuyup seperti orang mandi.  Mata ibu mengantuk tetapi tidak boleh lelap kerana kesakitan yang datang semakin kerap.  Sepanjang malam bu menahan kesakitan yang tidak dapat nyatakan kepada yang tidak merasainya.  Tiba-tiba seeorang jururawat menggerakkan ibu dan memberitahu supaya jangan mengerang kerana orang lain pun sakit juga.  Baru ibu sedar, kerana semasa menahan kesakitan ibu telah mengerang agar tidak terasa sakit apabila berbuat demikian.  Jam menunjukkan jam 3.30 pagi.  Apabila Ibu membuka mata, kelihatan seorang doktor perempuan berada di sisi ibu.  Ibu memohon kepada doktor itu supaya dibedah.  Beliau menyuruh Ibu bersabar dan tunggu sehingga laluan bayi buka sampai 7 cm.  Ibu masih menahan kesakitan sehinggalah jam 5.00 pagi.  Doktor memeriksa ibu sekali lagi tetapi laluan bayi masih lagi berukuran 4 cm. Sekali lagi ibu memohon kepada doktor supaya ibu dibedah.  Rambut dan badan ibu basah kuyup kerana peluh  telah membasahi seluruh badan ibu yang sedang menahan kesakitan.

Jam sudah menunjukkan pukul 7.00 pagi.  Kelihatan ramai jururawat untuk memulakan tugas pada hari itu.  Sekali lagi doktor memeriksa Ibu dan akhirnya ia mengesahkan supaya ibu dibedah.  Memandangkan ayah tiada di situ, ibu tandatangan sendiri surat untuk mengizinkan ibu dibedah.  Jururawat sibuk menyiapkan diri ibu apa yang patut dibuat sebelum dibuat pembedahan.  Kemudian ibu diusung ke sebuah bilik pembedahan. 

Sampai sahaja di bilik bedah kelihatan dua orang doktor dan beberapa orang jururawat di bilik tersebut.  Ibu dibaringkan dikatil khas untuk dibuat pembedahan.  Kemudian seeorang doktor lelaki mengarahkan ibu duduk dan membongkok.  Beliau memaklumkan kepada ibu yang beliau akan memasukkan bius dengan memasukkan jarum ke tulang belakang ibu. Disebabkan sudah terlalu lama menahan kesakitan, ibu hanya mengangguk sahaja.  Tiba-tiba terasa sakit yang amat sangat di tengah-tengah tulang belakang dan akhirnya hilang kesakitan tersebut.   Ibu disuruh baring semula.  Tiba-tiba tiada lagi rasa sakit di pinggang  dan juga di ari-ari. 

Di Tengah-tengah katil tersebut terdapat kain yang menghadang pandangan Ibu untuk melihat apa yang dilakukan oleh doktor dan jururawat. Terasa goresan di perut Ibu, tetapi tidak terasa sebarang kesakitan.  Tiba-tiba seorang doktor lelaki datang menghampiri ibu dan meminta izin untuk memegang perut ibu, katanya untuk membetulkan kedudukan bayi yang senget. Tidak berapa lama selepas itu terdengar suatu jeritan halus tangisan seorang bayi.  Setelah selesai membersihkan bayi tersebut, doktor lelaki tersebut telah menunjukkan kepada ibu bayi yang telah ibu lahirkan. Ibu melihat seorang bayi lelaki yang kecil yang sangat comel. Di pergelangan tangan bayi tersebut tertulis nama Muhammad Idzham bin Ridzwan, berat 2.69 kg.  Ibu mengucap syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana telah memberi peluang untuk meneruskan kehidupan ibu seterusnya. Allah hu Akbar.....