CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Friday, June 11, 2010

Solat Dhuha

Pada tarikh 5 Jun bersamaan hari Sabtu, aku telah ditugaskan sebagai urusetia untuk menerima manuskrip Bahasa Arab Tahun 5 dari penulis luar untuk kegunaan sekolah bagi tahun 2012. Hari itu merupakan hari akhir penulis menyerahkan contoh manuskrip mereka kepada Bahagian Buku Teks, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kebetulan pula kedua-dua anakku tidak bersekolah pada hari itu.
Pada pagi itu, aku pun bangun seperti biasa. Selepas sembahyang subuh, aku pun menggerakkan anak-anakku. Mereka bertanya kepadaku kenapa aku bekerja padai hari tersebut. Aku pun menerangkan kepada mereka, ini adalah tugas yang perlu aku lakukan. Kedua-duanya mula merengek dan memujukku supaya membawa mereka bersama. Memikirkan pada hari tersebut, mungkin aku pun tidak sesibuk mana, aku pun akhirnya membawa mereka ke pejabat.
Bergegas kedua-duanya bangun dan terus mandi. Gembiranya hati mereka mengikutku ke pejabat. Semasa mereka sedang mandi, aku pun sibuk mengemas tempat tidur mereka. Selepas mandi anakku yang sulung pun sembahyang subuh. Sementara menanti aku berkemas dan membersihkan apa yang sepatutnya jam sudah menunjukkan pukul 7.30 pagi. Tiba-tiba anakku Mohd Idzham pun berkata kepadaku "Ibu, saya sembahyang dhuha dulu ya". Alahai...sayu pula hatiku mendengar ia hendak sembahyang dhuha. Sedangkan aku pun sehingga kini belum pernah sembahyang sunat dhuha. Aku pun mengangguk kepala kepadanya tanda setuju.
Pada hari itu, segala keperluan untuk makan minum telah pun disediakan kerana petugas dan penyemak manuskrip semuanya hadir. Tepat jam 8.00 pagi aku pun bertolak ke Dewan Bahasa dan Pustaka, dan sampai lebih kurang jam 8.30 pagi kerana jalan lengang sahaja.

Monday, June 7, 2010

BERIADAH DI TASIK PERMAISURI, BANDAR TUN RAZAK

Anak-anakku berdua cukup suka pergi di Taman Tasik Permaisuri, di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.  Kami sering ke sana apabila hujung minggu, itupun jika tidak hari hujan dan aku berkelapangan untuk membawa mereka ke sana.  Tempat permainannya agak besar, dan tidak perlu berebut-rebut untuk bermain dengan peralatan di situ.  Aku juga suka pergi ke sana kerana ada jualan buah sengkuang yang dipotong nipis kemudian di atasnya diletakkan sos merah, kemudian ditabur dengan kacang tumbuk. 
Apabila sampai sahaja di sana, pasti aku akan membelinya dan anak-anakku pula suka membeli ais krim.  Setelah selesai makan, barulah anak-anakku pergi bermain-main di sekitar taman itu.  Sekiranya aku memakai pakaian yang bersesuaian untuk berjogging aku akan berjoging dahulu bersama mereka sebelum mereka bermain-main.
Memandangkan cerita kehilangan budak akhir-akhir ini kerap benar keluar dalam surat khabar, sebagai seorang ibu, menyebabkan aku menjadi takut untuk membiarkan anak-anakku bermain sendirian.  Mataku akan sentiasa mengekori di mana anak-anakku bermain.  Kadang kala rasa letih juga dan pening kepalaku kerana mataku asyik mengikuti mereka sepanjang masa.  Jika kelibat mereka tidak kelihatan, mataku mula melilau mencari mereka.  Mulalah aku mencari warna baju yang dipakai oleh anak-anakku untuk memudahkan aku mengesannya.
Apabila jam hampir menunjukkan pukul 7.00 malam, aku memberi isyarat kepada anak-anakku untuk pulang.  Kadang kala mereka membantah juga kerana tidak puas bermain, semasa kami sampai di taman itu pun sudah pukul 5.30 petang.  Setelah puas ku pujuk akhirnya mereka pun ikut juga akhirnya....

Wednesday, June 2, 2010

PLAY STATION 3

Adikku yang kelima baru sahaja balik bercuti dari Australia bersama keluarganya. Setiap kali dia pergi ke mana-mana pasti ada saja ole-oleh yang akan diberikan kepada ibu dan kami adik beradik ataupun kepada anak-anak buahnya. Pada  suatu hari, aku pergi ke rumahnya di Bandar Tun Hussain Onn setelah isterinya menghubungiku agar datang ke rumah kerana ada ole-ole untuk kami.


Kebetulan hari itu adalah hari Sabtu. Selesai sahaja aku menyelesaikan kerja-kerja rumah yang sepatutnya aku buat semasa bercuti aku pun pergi ke rumah adikku bersama ibu dan anak-anakku. Sampai di sana, adik-adikku yang lain telah pun sampai lebih awal.

Sampai sahaja di sana, anak-anak adikku sibuk bermain permainan yang menggunakan Play Station 3 yang baru sahaja di beli di Australia.  Apabila anak-anakku melihat permainan yang baru itu, terus duduk dan bermain bersama-sama.  Apabila tiba aku hendak pulang, aku pun menyuruh anak-anakku berhenti.  Malangnya anakku Idzham tidak mahu pulang kerana belum puas lagi bermain.  Aku pun maklum bukan dia seorang kerana ia hanya dapat melihat sahaja, kerana anak adik aku yang menggunakannya.  Barang barulah katakan, anaknya pun belum puas untuk menggunakannya.

Puas aku mengajaknya pulang.  Idzham menunjukkan rasa tidak puas hatinya dengan menangis dan cuba membuat perangai yang menyakitkan hatiku.  Suamiku tidak mengikutku kerana ada urusannya yang tersendiri.  Aku memang tidak mahu membeli Play Station kerana dengan adanya benda itu akan maenyebabkan anak-anakku asyik bermain.   Sedangkan permainan di komputer pun mereka boleh asyik, apatah lagi jika ada Play Station. Tiba-tiba tersentuh rasa hatiku atas sikap anakku yang mula memberontak.

Aku terus pergi ke keretaku bersama anakku yang kedua dan meninggalkan anakku Idzham yang sedang menangis.  Apabila aku masuk sahaja di keretaku, kelihatan dari jauh anakku Idzham menuju ke arah keretaku dan ia masih lagi menangis.  Apabila Idzham masuk sahaja ke dalam keretaku, aku mula memarahinya kerana bersikap demikian depan orang lain.  Sehinggakan aku berkata kepadanya "Jika Idzham tidak mahu lagi bersama ibu, Idzham tinggallah dengan Pak Itam"  Pak Itam adalah gelaran kepada adikku, walaupun kulitnya gelap tetapi rezekinya terang.  Adikku merupakan antara kami yang paling berjaya kerana bekerja di Petronas dan mempunyai status yang baik dan gajinya pun belasan ribu ringgit berbanding dengan kami yang hanya bekerja kerajaan.

Aku terus lagi membebel dan berkata "Ibu orang susah, ibu tidak mampu untuk membelinya".  Tiba-tiba aku berasa sangat sedih dan menangis sepuas-puas hatiku sambil memandu kereta menuju ke rumahku.  Kedua-duanya diam sahaja.  Aku berkata lagi "Nanti bila sampai di rumah ibu akan masukkan baju Idzham ke dalam beg dan ibu hantar Idzham ke rumah Pak Itam".  

Sampai sahaja di rumah, aku terus mengambil beg dan memasukkan semua baju-baju Idzham ke dalam beg.  Tiba-tiba anakku Irfan memegang tanganku dan memohon ampun dan maaf sambil berkata "Ibu, ampunkan dosa saya,  Saya sayangkan ibu, saya tidak mahu ibu hantar abang ke rumah Pak Itam".  Terkedu aku bila anakku Irfan berkata demikian, sedangkan abangnya hanya menangis sahaja.  Dua tiga kali Irfan meminta maaf kepadaku.   Aku menjawab "Abang Idzham pun tak kisah, kenapa adik yang minta maaf".

Tiba-tiba anakku Irfan terus menarik tangan abangnya Idzham dan mengambil tangannya dan meletakkan tangan Idzham ke tanganku sambil berkata "Abang minta maaflah dengan ibu, saya tidak mahu abang tinggal dengan Pak Itam."  Abangnya menangis sambil berkata dengan suara yang tersangkut-sangkut  "Ibu, maafkan saya ibu, saya sayang ibu."  Air mataku semakin banyak mengalir keluar kerana terharu dan juga sikap anakku Irfan yang tidak aku jangka boleh bersikap demikian.

Aku terus berkata "Ibu maafkan Idzham, tapi ibu tidak suka cara Idzham itu semasa ibu mengajak Idzham balik rumah.  Harap jangan buat begitu lagi".  Aku peluk dan cium muka anak-anakku berdua...