CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Rabu, 24 November 2010

SABAR JE LAH!


Setiap petang apabila aku pulang dari pejabat, aku akan mengambil anakku Idzham dan Irfan di sekolah agama Al-Hidayah, Taman Impian Ehsan, Selangor kerana mereka transit di situ sebelum pergi ke sekolah kebangsaan. Sebelum pulang ke rumah, aku akan mengira jumlah baju sekolah agama, samping, songkok, bekas air dll di dalam beg yang telah aku sediakan. Sejak ibuku tidak lagi tinggal bersamaku, mereka berdua terpaksa transit di sekolah agama tersebut.  Memandangkan peringkat awal mereka baru sahaja transit di situ, ada sahaja barang yang hilang, Pernah suatu ketika seluar sekolah agama Idzham telah hilang,  yang tinggal hanyalah baju sekolah agama sahaja. Baju sekolah agamanya pula ada dua pasang, jika satu seluar sekolah agama sudah hilang, bermakna satu pasang sahaja yang boleh digunakan.  Marah sungguh aku kepadanya kerana sikapnya yang tidak ambil kisah sedangkan baju adiknya,  Irfan tidak pernah hilang.  Dalam hatiku berdoa agar janganlah pula ada  barang Irfan yang hilang.  Sepanjang perjalanan pulang, di dalam kereta aku membebel memarahi anakku Idzham.  Rasa kecewa di atas sikapnya yang tidak kisah atau tidak bertanggungjawab ke  atas  pakaian mahupun barang-barang sekolahnya.

Sedang aku membebel kepada anakku Idzham, tiba-tiba aku mendapat satu idea bagaimana untuk mengelakkan agar bajunya tidak hilang lagi.   Aku memanggil Idzham supaya datang kepadaku. "Idzham, ibu nak bagit ahu kat idzham, bagaimana baju  Idzham tidak hilang lagi”.  Sambungku lagi..”Setiap kali Idzham hendak buka baju sekolah agama, letakkan di bawah kaki  dan pijak baju itu dengan kaki Idzham,  kemudian bila Idzham buka samping dan juga seluar sekolah agama  letakkan juga  di bawah kaki dan Idzham pijak sekali dengan baju tadi. Bila Idzham sudah selesai buka baju ambil dan kira kesemua baju yang Idzham pijak tadi mesti ada tiga helai iaitu baju, seluar dan samping”.  Satu persatu aku terangkan agar ia faham apa yang hendak aku sampaikan.  Aku terus menyambung lagi “Kemudian ketiga-tiga helai kesemuanya tadi itu, Idzham masukkan ke dalam beg baju yang ibu bawa  supaya tidak diambil oleh kawan-kawan Idzham”.  “Faham tak?:  kataku sambil memandang tepat ke matanya. Idzham menjawab dengan  lembut dan mungkin ada perasaan bersalah  “Faham Ibu”  Aku menyambung lagi “Selepas ini, Ibu tidak mahu lagi ada barang-barang Idzham yang hilang.  Idzham sepatutnya menjadi contoh kepada adik dan tunjukkan Idzham adalah lebih baik atau lebih hebat dari Irfan”.  Saja aku berkata sedemikian untuk memberinya motivasi untuk meningkatkan semangatnya kembali. 



Setelah mendengar jawapannya, di dalam hati aku berdoa kepada Allah  agar tidak berlaku lagi barang yang hilang di masa akan datang.   Idzham mendiamkan  diri  sahaja mendengar penjelasanku, mungkin ia boleh mempraktikkannya kelak.  Aku pernah bertanya kepada ustazah di situ,  kemungkinan seluarnya diambil oleh kawan-kawannya  yang menganggap seluar  itu milik mereka kerana masing-masing hendak cepat untuk menguruskan diri mereka masing-masing.  


Sampai sahaja di  rumah, aku menyuruh mereka mandi  dan mengambil wudhu sekali untuk bersembahyang.  Apabila masuk waktu maghrib,  Idzham akan bersembahyang bersama adiknya Irfan.  Aku pula sibuk mengemas rumah, memasak untuk menyediakan makan malam dan  sebagainya.   Setelah semuanya selesai kami akan makan malam bersama-sama.

Selepas makan malam pula, bila berkesempatan aku akan memeriksa buku latihan sekolah anak-anakku.  Dari satu buku latihan ke satu buku latihan yang lain dan aku akan menyemak setiap halaman.  Setiap kali aku menyemak ada saja kerja sekolah  Idzham yang tidak siap dan terpaksa menyuruhnya menyiapkannya di rumah.  Apabila aku menyuruh Idzham menyambung kerja sekolah yang tidak selesai,  dia mengatakan soalan tersebut diambil dari papan hitam yang ditulis oleh cikgunya pada hari itu. Dengan yang demikian, bermakna ia tidak boleh menghabiskan juga kerja-kerja sekolahnya yang tidak siap itu.  Mendengar penjelasan anakku itu, aku mula naik angin  sekali lagi,  kerana sikapnya yang tidak menyalin dahulu soalan yang ditulis di papan hitam itu.

Aku mula membebel kepada  Idzham.  Aku bertanya kenapa Idzham begitu lambat menulis soalan yang ditulis oleh guru di papan hitam. Idzham menjelaskan kepadaku, dia tidak berapa nampak tulisan di papan hitam itu. Aku pun bertanya lagi "Idzham kan sudah duduk di baris hadapan, Ibu sudah telefon guru kelas Idzham supaya  Idzham duduk di meja hadapankan!  Terpaksalah aku menalipon kawanku kerana anaknya satu kelas dengan Idzham dan meminta anaknya membacakan soalan yanga tidak sempat ditulis agar Idzham dapat menyelesaikan kerja sekolahnya.  Bila kerap sangat talipon kawanku itu, aku merasa malu sendiri kerana kelemahan anakku menyiapkan kerja.   Akhir sekali  aku memberikan satu lagi cadangan iaitu setiap kali gurunya menulis soalan di papan hitam, Idzham hendaklah menyalin soalan yang tidak sempat dijawab ke dalam buku nota.  Apabila balik dari sekolah, Idzham bolehlah meneruskan kerja sekolah yang tidak selesai itu.  Setakat ini cadangan itu nampaknya membuahkan hasil walaupun masih lagi ada lagi kerja sekolahnya yang tidak siap.


Akhrnya aku membuat keputusan akan membawa Idzham ke kedai cermin mata, kemungkinan matanya mungkin rabun ataupun silau sepertiku.   Semasa aku hendak pulang dari membeli barang keperluan di Econsave, Balakong, aku singgah sekejap di kedai cermin mata di dalam bangunan itu  juga dan memaklumkan kepada penjual itu supaya memeriksa mata anakku Idzham.  Setelah pemeriksaan selesai, penjual itu memaklumkan kepadaku yang Idzham memang mempunyai masalah silau yang begitu tinggi, masalah yang sama yang ku hadapi juga.


Setelah mendapat nasihat daripadanya, aku pun membuat keputusan untuk membuat cermin mata untuk Idzham.  Setelah memilih bingkai yang sesuai dengan mukanya, penjual itu memaklumkan kepadaku harga cermin mata tersebut bernilai RM290.00 setelah diambil kira kos bingkai dan power cermin mata.  Aduh! mahalnya...tetapi aku nekad dan berharap agar Idzham dapat membuat kerja sekolahnya dengan harapan tidak ada lagi perkataan tidak siap!  dari gurunya di dalam buku latihan.  dan Idzham dapat menulis soalan dengan cepat, selesa dan terang. Cermin mata itu aku ikat dengan tali yang diberi oleh penjual itu agar tidak hilang.  Malangnya tidak sampai dua bulan Idzham menggunakannya, cermin mata tersebut telah pun hilang. Idzham....Idzham....itu sahaja yang boleh aku katakan...sabar je lah...


Idzham memaikai cermin mata baru

Tiada ulasan: