CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Friday, March 11, 2011

DOAKAN SAYA IBU!

Pada bulan mac ini, di sekolah kebangsaan telah mengadakan ujian bulanan.  Seperti biasa di sebelah pagi, banyak persiapan awal terpaksa aku lakukan sebelum menghantar anak-anakku ke sekolah.  Setiap pagi aku sudah bising menyuruh anak-anakku memeriksa keperluan yang sepatutnya perlu dibawa.
Pagi itu, aku berkata kepada anak-anakku untuk menjadi anak yang cemerlang bermula dari rumah dahulu.   Mereka hendaklah memimpin diri sendiri  iaitu dari bangun pagi, mandi, pakai baju sekolah, sikat rambut, minum pagi, pastikan beg sekolah dan beg tuala (untuk mandi di transit) tidak perlu lagi ibu perlu mengingatinya kerana ia adalah perlu dilakukan setiap hari.  Jika semua itu boleh dilakukan tanpa lagi dileteri ibu, bermakna mereka sudah menjadi anak yang cemerlang, barulah boleh memimpin di sekolah pula dan guru sekolah berani hendak memberi jawatan seperti pengawas, pustakawan ataupun ketua darjah. Masing-masing diam dan memandang kepadaku, aku sendiri tidak tahu sama ada mereka memikirkan apa yang aku katakan atau sebaliknya. 
Sememangnya setiap pagi aku stress dengan sikap mereka yang perlu disuruh, baharu untuk membuatnya.  Pada hari itu, Irfan dan Idzham akan membuat lukisan untuk peperiksaan mereka.  Seminggu sebelum itu, aku diberi oleh anak-anakku perkara yang perlu dilakukan dalam peperiksaan Pendidikan Seni.  Aku sudah memberi idea kepada Irfan bagaimana untuk membuat pemandangan kampung yang mempunyai gunung, sawah di belakang rumah, sungai dan di sebelah kiri ada pokok kelapa dan di sebelah kanan pula ada rumah kampung. Idzham pula aku sudah memberi idea untuk membuat gambar kartun mikey mouse sambil memegang bendera Malaysia.  Lega rasanya kerana mereka juga telah membuat lukisan itu di rumah walaupun tidak siap, kerana aku yakin mereka telah mendapat gambaran yang aku berikan.
Tiba-tiba pada pagi itu, Irfan meminta wang kepadaku untuk membeli crayon untuk membuat lukisannya.  Aku mengatakan tidak perlu, cukup dengan hanya menggunakan pensil warna sahaja.  Ia mula membebel kepadaku dan mengatakan cikgunya menyuruhnya membeli crayon, nanti dia  tidak dapat gred A.  Bila aku mengatakan tidak perlu Irfan terus mengambil wang tabungnya sebanyak RM5.00.  Aku menyuruhnya menyimpannya balik wang tabung tersebut dan ambil crayon yang sudah pakai di biliknya.  Ia berdegil hendakkan yang baharu juga dengan mengatakan crayon itu sudah pendek, patah dan sebagainya.  Aku terus naik angin dan mengacah hendak memukulnya.  Kedua-duanya anakku menjerit bila aku buat-buat naik angin, lantas anakku Irfan terus mengatakan tidak perlu untuk menggunakan crayon dalam lukisannya. Aduh...tidak perlulah pulak..tadi kata perlu....sabar jelah aku dengan perangainya.  Aku memaksa juga Irfan mengambil crayon yang sudah lama, akhirnya ia mengambil crayon tersebut dengan terpaksa.
Semasa di dalam kereta, lagu Puteri Santubong berkumandang.  Anakku Idzham dengan senang hati menyanyikan lagu itu.  Aku berkata kepada anakku Idzham,  ibu tidak dapat lagi menyanyi seperti Idzham kerana Idzham dan Irfan selalu membuat ibu stress di waktu pagi.  Tiba-tiba air mataku bergenang semasa aku menuturkan kata-kata tersebut.  Anakku Idzham terdiam sambil memandangku.
Sampai sahaja di depan sekolah, Idzham meminta salam dan memohon maaf seperti biasa sambil berkata Ibu, doakan saya ya!   Aku mencium pipi Idzham lama-lama sambil berkata Ibu doakan Idzham agar dapat membuat yang terbaik. Ibu sayangkan Idzham...Assalamualaikum...Ia keluar dari kereta sambil tersenyum memandangku. 
Selepas itu, aku menuju ke sekolah agama pula untuk menghantar anakku Irfan.  Sampai sahaja di sana, aku mengambil beg, baju Idzham untuk sekolah agama dan beg tuala.  Irfan membawa beg sekolah agama dan kebangsaannya di belakangku.  Sampai di tingkat 2 , aku meletakkan semua keperluan anak-anakku di situ dan melihat kepada Irfan.  Sebelum aku pergi, Irfan bersalaman denganku sambil berkata Ibu, ampunkan saya dan doakan saya ya.  Sedih dan sayu pula rasanya apabila pada hari yang sama mereka berdua berkata sedemikian kepadaku.  Aku mencium pipinya sambil berkata Ibu ampunkan dosa Irfan dan ibu doakan agar Irfan dapat membuat yang terbaik.  Aku mengharapkan agar kata-kataku itu memberi perangsang dan semangat kepada mereka kerana aku juga tidak mempunyai banyak masa untuk membimbing mereka sepenuhnya kerana aku juga terpaksa bekerja mencari rezeki.