CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Jumaat, 9 Disember 2011

BERKHATAN!

Cuti sekolah akhir tahun akan bermula.  Idzham menyatakan kepada Ibu agar bolehlah ia berkhatan semasa cuti sekolah akhir tahun ini.  Pada hari Sabtu, sempat juga ibu singgah ke Klinik Kita, di Cheras Perdana untuk menempah tarikh untuk berkhatan.  Ibu bertanya kepada jururawat di situ, bila tarikh yang telah disediakan untuk berkhatan.  Jururawat itu memaklumkan ketika ini hanya ada dua tarikh yang telah ditetapkan iaitu 2 Disember dan 5 Disember 2011 sahaja yang ada.  Ibu pun mengambil tarikh 5 Disember 2011 dan bertanyakan kepada jururawat di situ berapakah kos untuk berkhatan.  Jururawat itu memaklumkan bahawa kos berkhatan bagi seorang berjumlah RM89.00.  Memandangkan jumlahnya tidak sampai RM100.00 Ibu bersetuju agar Irfan juga bolehlah berkhatan sekali.   Kemudian jururawat itu mengambil maklumat anak-anak Ibu dan merekod maklumat berkenaan.  Lega rasanya hati Ibu, kerana telah dapat menempah tarikh untuk berkhatan untuk anak-anak Ibu.  Lepas itu Ibu mengajak Idzham dan Irfan untuk pergi ke Restoran Sari Dee di Bandar Hussein Onn untuk bersarapan di sana.

Tanggal 27 November 2011, Ibu mengajak ayah untuk membeli kain pelikat untuk anak-anak Ibu berkhatan.  Selepas bersarapan, kita semua bersama-sama menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk membeli kain pelikat tersebut.  Semasa dalam perjalanan, hujan turun dengan lebatnya.  Terpaksalah Ayah, Idzham dan Irfan duduk dalam kereta, dan Ibu seorang keluar untuk membelinya.  Ibu terus menuju ke Kedai Maidin dan mencari kain pelikat kanak-kanak.  Setelah memilih warna yang sesuai, Ibu mengambil 4 helai untuk dipakai oleh anak-anak Ibu nanti.

Semasa ibu sedang bekerja di pejabat, tiba-tiba Ibu teringat tarikh 5 Disember 2011 itu jatuh pada hari Isnin. Ini bermakna Ibu terpaksa mengambil cuti rehat lebih dari 2-3 hari untuk menjaga anak-anak Ibu selepas berkhatan.  Ibu duduk menghitung hari jika tarikh berkhatan diambil pada 2 Disember 2011 iaitu jatuh pada hari Jumaat, bermakna ibu sudah boleh menjaga anak-anak Ibu pada hari Sabtu dan Ahad dan selamatlah cuti Ibu dua hari.  Balik dari pejabat, Ibu terus pergi ke Klinik Kita dan memaklumkan Ibu ingin menukarkan tarikh tersebut pada 2 Disember 2011.  Pada 1 Disember 2011, jururawat Klinik Kita memaklumkan kepada Ibu bahawa Idzham dan Irfan dikehendaki datang ke klinik jam 2.00 petang. 

Hari yang ditunggu telah tiba.  Pagi itu ibu memasak meehoon goreng agar anak-anak Ibu nanti kenyang semasa berkhatan nanti.  Jam menunjukkan sudah 1.30 tengahari.  suamiku tidak juga muncul, lantas Ibu mengambil keputusan membawa Idzham dan Irfan sendiri ke klinik.  Rasa geram dan marah kepada suamiku yang tidak maengambil berat dalam hal-hal yang sebegini.  Semasa dalam perjalanan, Ayah baru telefon mengatakan ia baru hendak mandi kerana tadi beliau telah membuat kerja-kerja part  time membaiki rumah orang.   Ibu mengatakan ibu terpaksa membawa anak-anak Ibu dahulu ke klinik mengikut waktu yang telah ditetapkan, kerana doktor tidak menunggu kita, tapi kita yang memerlukan doktor.

Sampai sahaja di klinik, kelihatan ramai anak-anak yang sebaya Idzham dan Irfan memakai kain pelikat.  Ibu terus ke kaunter dan mengisi borang yang diberikan.  Kemudian Ibu diberi nombor giliran untuk berkhatan iaitu nombor 12 dan 13,  Pada mulanya Idzham dan Irfan diberi ubat air iaitu ubat tahan sakit dan ubat antibiotik.  Semasa menunggu Ayah pun sampai ke klinik menaiki motor.  Tidak sampai 5 minit, Idzham dan Irfan dipanggil masuk ke dalam bilik untuk dibius.  Ayah dan Ibu tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik tersebut.  Setelah keluar, nampak muka Idzham dan Irfan berubah sambil tersenyum memandangku.  Idzham menyatakan kepadaku semasa dicucuk sakit juga rasanya.  Kemudian nama Idzham dipanggil masuk ke dalam bilik untuk dikhatankan oleh doktor.  Bila keluar sekali lagi nampak raut wajahnya yang sedikit berubah, tetapi dia mula bercerita tidak sakit pun, mana kan tidak kerana  ubat bius masih ada.  Lepas itu nama Irfan pula dipanggil untuk masuk ke dalam bilik.  Raut wajah Irfan juga berubah dan ia juga tersenyum.   Walaupun begitu aku tahu mereka  agak gementar kerana aku Ibunya.  Selepas itu jururawat itu memberi ubat bengkak, antibiotik dan ubat sapu dan menyuruhku membawa kembali dua hari selepas itu. 

Semasa hendak pulang, hujan turun dengan lebatnya, terpaksalah aku menunggu dengan mengharapkan agar hujan akan reda. Sementara menunggu hujan reda, aku pergi ke kedai 999 untuk membeli air dettol.   Memandangkan hujan tidak juga reda, Ibu meredah mengambil kereta dan membawanya dekat kaki lima di klinik tersebut agar mudah Idzham dan Irfan masuk ke  dalam kereta.  Semasa membawa Idzham dan Irfan pulang, suamiku juga menaiki motornya walaupun hujan turun dengan lebatnya.  Kasihan pula melihatnya kehujanan untuk pulang ke rumah.  Tapi apakan daya, hanya aku berdoa agar suamiku selamat dalam perjalanan pulang.






Selepas dua hari, Ibu membawa Idzham dan Irfan semula ke klinik.  Doktor mencuci apa yang patut dan menyuruh anak-anak ibu rajin membersihkannya agar tidak bernanah.   Balik dari klinik, aku menyuruh anak-anakku menyucikan semula dan membuang serpihan yang ada.  Irfan rajin membersihkan dirinya tetapi Idzham malas dan takut untuk membersihkannya kerana katanya rasa sakit.  Aku lihat ada sedikit kekuningan di keliling tempat yang dikhatan itu.  Mungkinkah ia nanah?  Hari berikutnya kemaluan Idzham membengkak dan kelilingnya semacam nanah.  Aku menyuruh Idzham berendam di dalam besen besar yang penuh dengan air dan aku masukkan sedikit air dettol agar tidak dijangkiti kuman.  Setelah dua jam Idzham berendam ia masih lagi takut untuk membersihkannya.  Apabila suamiku pulang dari pejabat, aku menyuruh suamiku membersihkan kemaluan Idzham kerana aku juga takut untuk membuatnya apabila ia menangis.   Apa lagi menjerit-jerit Idzham di dalam bilik air, apabila suamiku membersihkan kemaluannya.  Aku berjalan mundar mandir kerana takut suamiku akan membuatkan ianya lebih parah.  Aku berdoa kepada tuhan agar dipermudahkan segala urusan dan Ibu juga berdoa agar Idzham cepat semboh.  Air mataku turun tanpa disedari.  Jam 11.00 malam baru selesai.  Idzham keletihan dan aku memberikannya kuih jemput-jemput kerana ia tidak mahu makan nasi.  Setelah itu aku memberikannya ubat bengkak dan antibiotik.  Akhirnya beliau tidur. 


Hari ini aku terpaksa mengambil cuti kecemasan apabila melihatkan kemaluannya masih bengkak walaupun nanah ada sedikit lagi.  Petang itu aku menyuruhnya berendam lagi di dalam besen agar mudah untuk dicuci.  Sekali lagi ia takut untuk membersihkan dirinya.  Apabila suamiku pulang,  aku memberikan suamiku makan malam sebelum ia meneruskan untuk membersihkan nanah di kemaluan Idzham.  Apa lagi semakin kuat jeritannya. Sekali lagi aku berjalan mundar mandir kerana takut suamiku akan membuatkan ianya lebih parah. Aku berdoa kepada tuhan agar dipermudahkan segala urusan dan di dalam hati aku berkata Ibu ampunkan dosa Idzham jika ada dosa Idzham terhadap Ibu. Sekali lagi air mataku turun dengan lebatnya semasa berdoa kepada tuhan.

Apabila melihatkan Idzham semakin sakit, lantas suamiku mengajak aku membawa Idzham ke klinik.  Perasaan aku tidak keruan, bermacam-macam perkara yang bermain di fikiranku.  Apabila doktor memeriksa Idzham, beliau mengatakan ia hampir bersih dan meletakkan air yang sejuk kerana kemaluannya membengkak dan sedikit luka. 
Sekali lagi, aku terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana tidak sampai hati untuk meninggalkannya di rumah jiran yang telah bersetuju untuk menjaganya.

Pada tarikh 8 Disember 2011, Ibu terpaksa bekerja.  Pagi itu ibu masakkan Ikan bawal Masak Pindang dan Ikan Selar Goreng.  Sempat juga Ibu buat kuih jemput-jemput untuk anak Ibu bersarapan.  Setelah sarapan pagi Ibu memberikan ubat untuk dimakan dengan harapan cepat sembuh.  Apabila pulang dari pejabat, cepat-cepat Ibu lihat di kemaluan Idzham.  Kelihatan masih seperti dulu juga.  ibu rasa tidak tenang setiap kali melihat wajah Idzham.  Bilakah agaknya Idzham boleh sembuh.

Pagi esoknya seperti biasa aku buatkan Ikan Bawal Masak Pindang dan Ikan Selar Goreng untuk anak-anakku.  Semasa aku menggerakkan anak-anakku bangun pagi, aku lihat  kemaluan idzham ada sedikit nanah.  Aku menyuruhnya menyucikan dirinya dan seperti biasa ia juga semakin fobia untuk membuatnya.  Apabila suamiku melihatnya ia mengajakku sekali lagi ke klinik agar Idzham sekali lagi diperiksa.  Doktor mengatakan ia semakin sembuh kerana kemaluannya tidak bengkak lagi walaupun aku lihat ada nanah di kelilingnya.  Lega perasaanku walaupun masih belum sembuh.  Setelah selesai diperiksa, aku meminta agar diberi time slip kerana aku terpaksa bekerja kerana banyak tugasan yang belum diselesaikan lagi.  Suamiku pula bercuti, kerana ada urusan lain.  Aku berdoa agar selepas ini Idzham semakin sembuh hendaknya. Amin....