CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Jumaat, 29 November 2013

Peperiksaan UPSR dan UPSRA

Tahun ini Idzham dalam darjah enam.  Tahan ini juga dia akan mengambil peperiksaan UPSR.   Setiap hari Isnin, aku akan mengambil soalan UPSR dalam surat khabar Berita Harian yang terkenal dalam ruangan DIDIK.  Soalan Bahasa Melayu, Sains dan Matematik merupakan mata pelajaran teras amat ditekankan olehku.  
Setiap minggu aku akan mengajar sendiri mata pelajaran tersebut.  Untuk menghantar Idzham mengambil tusyen memang agak sukar, memandangkan aku dan anak-anakku sampai ke rumah hampir senja.  Bila kala aku hendak masak untuk makan malam, sembahyang maghrib,  Idzham pula akan cepat mengantuk kerana keletihan walaupun jam baru 9.00 malam. Kelas tusyen pula biasanya akan bermula jam 8.00  malam.  Memandangkan keadan yang sedemikian, aku nekad untuk mengajar Idzham sendiri. Walaupun begitu, setiap minggu, sekolah Idzham ada menyediakan kelas tambahan untuk pelajar tahun 6 yang akan mengambil peperiksaan UPSR.
Setiap kali sebelum aku mengajarnya dalam apa jua mata pelajarannya, aku akan rujuk terlebih dahulu teksnya agar selari dengan cara pembelajarannya. Lama-kelamaan aku semakin letih untuk mengejar masa.  Anakku pula semakin hebat bermain games di PS2, mahupun di PC. Sememangnya di rumahku ada dua  PC. Bukanlah kerana aku banyak duit, tetapi aku membelinya di pejabat semasa komputer itu hendak dihapuskira.  Komputer itu masih baik lagi kerana kebetulan tahun itu staf dibekalkan komputer yang terkini.  Satu lagi PC diberikan oleh adikku kerana ia hendak membeli yang baru.  Screennya lebar  23" dan lebih laju daripada yang PC yang pertama.
Semasa aku pergi membeli barangan dapur di Econsave Balakong, Seorang promoter Astro menawarkan pemasangan Astro secara percuma dengan syarat aku melanggan dengannya.  Aku memberitahunya, yang anakku akan leka menonton Astro sedangkan tahun ini ia akan mengambil pepeariskaan UPSR.  Aku juga dimaklumkan oleh promoter Astro,  setiap hari ada rancangan akademik untuk pelajar yang mengambil peperiksaan UPSR.  Dalam aku mencongak-congak, aku rasa ini adalah cara yang terbaik untuk anakku belajar di rumah jika  aku tidak dapat mengajarnya.  Akhirnya aku bersetuju untuk melanggan Astro.  Semasa rancangan pembelajaran itu, kadang kala aku juga menonton sekali dan aku akan memberi sedikit penerangan tambahan untuk makluman anakku itu.
Semasa peperiksaan percubaan UPSR Idzham cuma dapat keputusan 3B dan 2C sahaja.  Sebelum inipun keputusan peperiksaannya tidaklah secemerlang mana pun.  Yang dapat A semuanya bukan mata pelajaran teras.  Aku pun tidak mengharap sangat, tapi yang penting aku telah usaha sedaya mungkin.  Nampaknya bukan anakku yang berusaha, tetapi ibunya yang lebih-lebih. Hahahaha...
Peperiksaan semakin hampir.  Walaupun begitu, aku tidak cukup masa jua untuk melihat semuanya kerana tugas harianku yang tidak berkurangan sedikit pun. Anakku Irfan pula asyik semput dan demam sejak akhir-akhir ini. Bila ia demam, terpaksalah aku memberi perhatian yang lebih kepadanya. 
Kebetulan di pejabatku, ada penjual yang menjual jus kismis. Aku membeli jus kismis untuk anakku Idzham. Kismis merupakan buah yang amat baik dan merangsang minda. Semasa  Peperiksaan UPSR akan menjelang 2 - 3 bulan lagi, aku juga membeli supleement tambahan produk Shaklee daripada kawanku.  Nasib baik ia memberikanku harga ahli lebih kurang harganya RM92.00. Selebihnya aku tawakkal kepada Allah s.w.t.  Untuk sekolah agamanya pula langsung aku tidak sempat untuk melihat dan mengajarnya mana yang boleh aku bantu. Sekali lagi aku bertawakal kepada Allah agar dapat menolongku dan membantu anakku agar mudah untuk menerima ilmu yang diajarkan oleh gurunya.
Hari yang dinanti telah pun tiba.  Aku mengambil cuti rehat selama 4 hari untuk memberikan semangat kepada anakku Idzham.  Sepanjang ia mengambil peperiksaan UPSR itu, aku berdoa dari rumah agar ia dipermudahkan oleh Allah s.w.t. untuk menjawab soalan yang diberikan. Sebelum hari peperiksaan, aku juga mendapat tips dari rakan sepejabatku untuk membantu anak-anak yang sedang menghadapi peperiksaan. 




Selesai sahaja peperiksaan UPSR, aku fokuskan sedikit sebanyak masa yang ada (tidak sampai 2 minggu pun) untuk peperiksaan UPSRA pula.    Aku hanya sempat memberi sedikit tunjuk ajar, dan lebih malang lagi kerana tidak dapat mengambil cuti lagi kerana tahun ini cuti aku hanya tinggal 6 hari sahaja.   Sekali lagi aku bertawakal kepada Alah s.w.t. 
Selesai sahaja peperiksaan UPSR, aku fokuskan sedikit sebanyak masa yang ada (tidak sampai 2 minggu pun) untuk peperiksaan UPSRA pula.    Aku hanya sempat memberi sedikit tunjuk ajar, dan lebih malang lagi kerana tidak dapat mengambil cuti lagi kerana tahun ini cuti aku hanya tinggal 6 hari sahaja.   Sekali lagi aku bertawakal kepada Alah s.w.t. 
Keputusan UPSR telah dimaklumkan akan dikeluarkan pada 16 November  2013.  Sebelum menghantar Idzham ke sekolah, sempat aku memberitahunya, walau seburuk mana sekalipun keputusannya jangan sedih, kerana kita telah berusaha dan Allah telah menentukan segalanya untuk memberikannya semangat.  Sebelum keluar dari kereta, aku menyuruh anakku menghubungiku kerana aku juga tidak sabar untuk mengetahui keputusan peperiksaannya.  Sepanjang aku memandu kereta ke pejabat,  aku masih berdoa agar anakku akan mendapat keputusan yang baik.Jam sudah menunjukkan pukul 11.00 pagi.  Idzham belum lagi menghubngiku.   Kawanku memaklumkan kepadaku anaknya mendapat 2A 3B.  Pengarahku juga memberitahuku anakku mendapat 5A dan UPSRAnya juga mumtaz.   Hatiku semakin cuak dan menyangka anakku tidak mahu menghubungiku kerana keputusannya yang tidak cemerlang.  Jam 11.15 pagi, aku terima panggilan dari anakku. Permulaan katanya ialah "Ibu jangan marah ya..Idzham dapat 3A 2C saja"  Aku terus mengatakan kepadanya "Alhamdulillah.....syukur..ibu tak marah, tapi ibu gembira"  Aku sendiri tidak menyangka Idzham  boleh mendapat 3A iaitu bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan Pemahaman.  

Syukur Ya Allah, sesungguhnya Kau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...amin...

Rabu, 20 November 2013

TAHAN IBU!

Sudah seminggu gigi graham bawahku sakit.  Pada mulanya aku pergi ke sebuah dentis dan doktor tersebut telah menyimen gigi aku.  Tapi cara dia menyimen sudahlah tidak cantik, lepas itu pula gigi aku masih lagi sakit.  Dua minggu selepas itu aku pergi ke dentis lain pula.  Doktor tersebut telah membuka simen tersebut dan membuang simen yang ada.  Doktor ini pula membuat lubang yang agak besar sedikit dan menampal semula gigiku.