CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Rabu, 28 September 2011

HATI-HATI IBU!

Kain yang telah kering untuk dilipat semakin tinggi.  Ibu semakin lemas melihat kerja-kerja rumah yang  tidak habis-habis.  Seboleh-bolehnya memanglah ibu hendak buat semuanya tanpa menyusahkan anak-anak ibu.  Setiap petang pula terpaksa menyediakan makan malam.   Selepas makan malam pula kena basuh pinggan dan mengemas apa yang patut.  Idzham dan Irfan pula jika makan ada sahaja makanan yang jatuh di lantai ataupun di atas meja.  Terpaksa pula kena mop lantai tersebut kalau tidak lantai melekit dan bercapuk-capuk jadinya.
Setelah selesai mencuci pinggan mangkuk dan mengemas ibu terpaksa seterika baju sekolah untuk keesokan harinya dan mana lagi hendak melipat kain yang telah membumbun tinggi...Aduh!! letihnya ibu. 
Di bilik air pula terdengar bunyi mesin basuh kain yang sedang mencuci baju-baju kotor.  Selepas itu sudah tentunya ibu terpaksa menyidai kain baju yang sudah dicuci di beranda.   Jika ibu hendak menyidainya di waktu pagi, takut tak sempat pula hendak buat sarapan pagi untuk Idzham dan Irfan.  Akhir sekali ibu terpaksa bersuara sambil berkata "Idzham, boleh tak tolong ibu sapukan lantai dan mop sekali di bawah meja ini". 
Dengan malas Idzham pun bangun dan buat juga setelah berapa kali ibu menyuruhnya.  Sambil menyapu dan mengemop lantai Idzham merungut dan berkata "Ibu, Irfan tu duduk saja, dia tak buat apa-apa ke?".  "Idzham jangan risau, Irfan pun ada tugas dia, Ibu baru nak suruh dia bersihkan meja makan ini" kataku kepada Idzham .  Ini adalah untuk mengelakkan agar  tidak berlaku pergaduhan dan supaya berlaku adil kepada kedua-duanya.
"Irfan, bolehlah tolong cuci meja makan ini!  Korang ini makan macam ayam tau, bersepah-sepah"  Itulah yang selalu ibu beritahu kepada anak-anak ibu, kerana Idzham dan Irfan memang setiap kali makan akan bersepah-sepah   makanan yang jatuh samada di atas meja mahupun di bawah meja.  Memandangkan Idzham sudah pun membuat kerja yang ibu suruh, Irfan terpaksa membersihkan meja makan walaupun terdengar rungutan dari mulutnya.
Semasa Idzham sedang mengemop lantai, aku lihat habis basah lantai yang dimopnya kerana ia tidak kuat untuk memerah kain mop tersebut.  Terpaksalah aku berjalan perlahan-lahan sambil membawa saki baki makanan ke dapur.   Apabila Idzham melihat ibu berjalan , sambil ia mengemop lantai, Idzham berkata kepadaku "Hati-hati ibu, lantai ini licin"  Sejuk hati aku mendengar Idzham berkata begitu kerana takut ibu terjatuh...Terima kasih Idzham, kerana sayangkan ibu dan ibu juga sayangkan Idzham juga.....
Catat Ulasan