CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Khamis, 22 September 2011

Terima KaSih Anakku!

Bulan syawal minggu kedua dan ketiga setiap petang hujan tak henti-henti turun dan ada pula jerebu yang agak teruk di Lembah kelang ini. Boleh dikatakan ibu jarang kena selsema, tak macam Idzham dan Irfan boleh dikatakan setiap pagi ada saja hinggus di hidung selepas mandi untuk pergi ke sekolah.

Tekak ibu mula sakit. Ibu biarkan saja dan makan ubat yang sedia ada dan mengharapkan agar ia akan baik sendiri. Tapi lama kelamaan tekak ibu semakin sakit dan ditambah pula kena selsema.




Read More:  http://posts.fanbox.com/1fs64


Jumaat, 11 Mac 2011

DOAKAN SAYA IBU!

Pada bulan mac ini, di sekolah kebangsaan telah mengadakan ujian bulanan.  Seperti biasa di sebelah pagi, banyak persiapan awal terpaksa aku lakukan sebelum menghantar anak-anakku ke sekolah.  Setiap pagi aku sudah bising menyuruh anak-anakku memeriksa keperluan yang sepatutnya perlu dibawa.
Pagi itu, aku berkata kepada anak-anakku untuk menjadi anak yang cemerlang bermula dari rumah dahulu.   Mereka hendaklah memimpin diri sendiri  iaitu dari bangun pagi, mandi, pakai baju sekolah, sikat rambut, minum pagi, pastikan beg sekolah dan beg tuala (untuk mandi di transit) tidak perlu lagi ibu perlu mengingatinya kerana ia adalah perlu dilakukan setiap hari.  Jika semua itu boleh dilakukan tanpa lagi dileteri ibu, bermakna mereka sudah menjadi anak yang cemerlang, barulah boleh memimpin di sekolah pula dan guru sekolah berani hendak memberi jawatan seperti pengawas, pustakawan ataupun ketua darjah. Masing-masing diam dan memandang kepadaku, aku sendiri tidak tahu sama ada mereka memikirkan apa yang aku katakan atau sebaliknya. 
Sememangnya setiap pagi aku stress dengan sikap mereka yang perlu disuruh, baharu untuk membuatnya.  Pada hari itu, Irfan dan Idzham akan membuat lukisan untuk peperiksaan mereka.  Seminggu sebelum itu, aku diberi oleh anak-anakku perkara yang perlu dilakukan dalam peperiksaan Pendidikan Seni.  Aku sudah memberi idea kepada Irfan bagaimana untuk membuat pemandangan kampung yang mempunyai gunung, sawah di belakang rumah, sungai dan di sebelah kiri ada pokok kelapa dan di sebelah kanan pula ada rumah kampung. Idzham pula aku sudah memberi idea untuk membuat gambar kartun mikey mouse sambil memegang bendera Malaysia.  Lega rasanya kerana mereka juga telah membuat lukisan itu di rumah walaupun tidak siap, kerana aku yakin mereka telah mendapat gambaran yang aku berikan.
Tiba-tiba pada pagi itu, Irfan meminta wang kepadaku untuk membeli crayon untuk membuat lukisannya.  Aku mengatakan tidak perlu, cukup dengan hanya menggunakan pensil warna sahaja.  Ia mula membebel kepadaku dan mengatakan cikgunya menyuruhnya membeli crayon, nanti dia  tidak dapat gred A.  Bila aku mengatakan tidak perlu Irfan terus mengambil wang tabungnya sebanyak RM5.00.  Aku menyuruhnya menyimpannya balik wang tabung tersebut dan ambil crayon yang sudah pakai di biliknya.  Ia berdegil hendakkan yang baharu juga dengan mengatakan crayon itu sudah pendek, patah dan sebagainya.  Aku terus naik angin dan mengacah hendak memukulnya.  Kedua-duanya anakku menjerit bila aku buat-buat naik angin, lantas anakku Irfan terus mengatakan tidak perlu untuk menggunakan crayon dalam lukisannya. Aduh...tidak perlulah pulak..tadi kata perlu....sabar jelah aku dengan perangainya.  Aku memaksa juga Irfan mengambil crayon yang sudah lama, akhirnya ia mengambil crayon tersebut dengan terpaksa.
Semasa di dalam kereta, lagu Puteri Santubong berkumandang.  Anakku Idzham dengan senang hati menyanyikan lagu itu.  Aku berkata kepada anakku Idzham,  ibu tidak dapat lagi menyanyi seperti Idzham kerana Idzham dan Irfan selalu membuat ibu stress di waktu pagi.  Tiba-tiba air mataku bergenang semasa aku menuturkan kata-kata tersebut.  Anakku Idzham terdiam sambil memandangku.
Sampai sahaja di depan sekolah, Idzham meminta salam dan memohon maaf seperti biasa sambil berkata Ibu, doakan saya ya!   Aku mencium pipi Idzham lama-lama sambil berkata Ibu doakan Idzham agar dapat membuat yang terbaik. Ibu sayangkan Idzham...Assalamualaikum...Ia keluar dari kereta sambil tersenyum memandangku. 
Selepas itu, aku menuju ke sekolah agama pula untuk menghantar anakku Irfan.  Sampai sahaja di sana, aku mengambil beg, baju Idzham untuk sekolah agama dan beg tuala.  Irfan membawa beg sekolah agama dan kebangsaannya di belakangku.  Sampai di tingkat 2 , aku meletakkan semua keperluan anak-anakku di situ dan melihat kepada Irfan.  Sebelum aku pergi, Irfan bersalaman denganku sambil berkata Ibu, ampunkan saya dan doakan saya ya.  Sedih dan sayu pula rasanya apabila pada hari yang sama mereka berdua berkata sedemikian kepadaku.  Aku mencium pipinya sambil berkata Ibu ampunkan dosa Irfan dan ibu doakan agar Irfan dapat membuat yang terbaik.  Aku mengharapkan agar kata-kataku itu memberi perangsang dan semangat kepada mereka kerana aku juga tidak mempunyai banyak masa untuk membimbing mereka sepenuhnya kerana aku juga terpaksa bekerja mencari rezeki.

Jumaat, 18 Februari 2011

PANTUN TEKA TEKI: TEKA-TEKI NAMA BINATANG

PANTUN TEKA TEKI: TEKA-TEKI NAMA BINATANG: " Ayam Jantan  Pergi memancing di Sungai Deli,Dapat seekor si ikan keli,Jika adik bijak bistari,Apa binatang keris di ka..."

Jumaat, 21 Januari 2011

TURUN KELAS

Pada hujung tahun, semasa peperiksaan akhir Idzham 2010 ibu tidak sempat untuk memantau semua mata pelajaran Idzham ketika itu.  Kebetulan ketika itu di tempat ibu bekerja berlakunya pelaksanan penyusunan semula struktur organisasi (PSSO) yang berkuatkuasa 1 Ogos 2010.  Di bahagian ibu ada 8 orang staf bertugas ketika itu, tetapi selepas pelaksanaan hanya  tinggal empat orang sahaja.  Kemudian ibu diarahkan berpindah ke tingkat lain pula kerana tingkat ibu bertugas akan diberikan kepada bahagian lain.  Berserabut kepala ibu dibuatnya, sudah lah tiada staf lelaki, siapa nak kemas dan angkat barang-barang semua.  Siapa pula nak membungkus.  Ibu terpaksa berjumpa dengan Pengurus Personel meminta supaya melihat semula keperluan di bahagian ibu.  Akhirnya ibu dapat juga mempertahankan seorang kerani perempuan setelah berbincang dengan  Pengurus Personel walaupun staf tersebut menjadi perebutan di antara bahagian ibu dengan bahagian baru staf tersebut.
Dengan bertambahnya bebanan tugas-tugas ibu kerana ketidakcukupan staf maka terabailah anak-anak ibu keatika itu.   Disamping itu berlaku juga perbalahan antara ibu dengan ayah, kerana beliau juga yang mengendalikan tentang PSSO itu.   Semasa akhir tahun, Idzham telah memberitahu ibu, Idzham telah ditempatkan di kelas 4 Dedikasi iaiatu yang keempat dari dua belas kelas kesemuanya.  Ibu berasa sungguh sedih, marah dan bersalah kerana tidak sempat untuk memberi perhatian kepada anak ibu.  Marah kepada Idzham kerana tidak menjawab dengan berhati-hati dan bersungguh-sungguh tetapi apabila Idzham menjawab sambil berjanji kepada ibu dengan kata-kata  "Ibu, saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh tahun depan untuk naik kelas Gemilang semula". Sedih dan marah bercampur baur tetapi setelah aku fikir untuk tidak mengeruhkan perasaan anakku lantas aku memberi semangat kepadanya dengan berkata  "Idzham, tidak apalah..yang penting tahun depan Idzham berazam dan belajar bersungguh-sungguh agar naik semula ke kelas Idzham yang lama".  Aku terus memegang tangannya dan memeluknya kerana aku tahu dia pun begitu kecewa di atas penurunannya  dari kelas 3 Gemilang ke kelas 4 Dedikasi.

Khamis, 9 Disember 2010

MELAWAT MUZIUM NEGARA

Pada bulan Syawal 2010 ini bersamaan 1431H, anak-anak aku merungut kerana tidak ada program yang khusus untuk berjalan-jalan.  Suamiku masih berada di Pulau Pinang dan akan pulang keesokan harinya.  Akhirnya aku mengambil keputusan untuk membawa mereka berdua ke Muzium Negara. 


Baju Raya warna merah

Idzham dan Irfan bergaya di hari raya
Irfan yang suka bergaya

Sampai sahaja di sana, aku terlihat ada Pameran Ular di Muzium Negara.  Anakku terus sahaja menuju ke pameran tersebut.  Aku cepat-cepat menarik tangan anak-anakku dan memberitahunya agar masuk ke dalam bangunan muzium dahulu kerana Pameran Ular diadakan di luar bangunan.  Sudah hampir 15 tahun aku tidak pergi mengunjungi ke Muzium Negara dan rasanya kali terakhir aku memasukinya semasa diadakan Pameran Mumi (orang yang telah mati diawetkan untuk lebih tahan lama seperti bentuk asalnya).  Semasa di dalam muzium, anakku terlihat patung manusia hidup di zaman batu yang tinggal di gua.  Aku menceritakan sejarah manusia zaman batu, mereka tinggal di gua sebagai rumah tempat mereka berlindung dari hujan dan panas, binatang liar sehinggalah sampai ke tentera Portugis menyerang negeri  Melaka pada tahun 1511.  Terdapat juga sejarah raja-raja Melayu dan pameran pakaian, pinggan mangkuk dsbnya yang digunakan di dalam istana.


tempat peraduan raja-raja zaman dahulu

Idzham dan  Irfan sedang posing di hadapan peraduan raja zaman dahulu

Terdapat juga sejarah tentang manusia yang pertama mendarat di bulan dan pakaian apa yang boleh digunakan untuk mengelakkan tekanan udara  Sempat juga kami bergambar di situ.


Irfan dengan baju angkasa

Banyak info yang aku diperoleh tetapi masa yang begitu terhad dan anak-anakku begitu teruja untuk melihat pameran ular tidak banyak yang dapat kusampaikan kepada mereka.

Apabila aku keluar dari bangunan muzium itu, ada pertunjukan ular di atas pentas.  Terdapat 3 orang lelaki di atas pentas itu.   Mereka sedang membuat persembahan untuk mencium kepala ular tedung yang kepalanya sedang kembang.  Kelihatan seorang lelaki sedang mententeramkan ular tersebut sebelum mencium kepalanya.  Agak ngeri juga aku melihatnya, kerana jika tersalah langkah maut akibatnya.  Kemudian salah seorang  mengambil seekor ular sawa yang besar dan memberikan ular tersebut kepada seorang lelaki yang lain dan menunjukkan bagaimana ular tersebut melilit badan manusia.  Lelaki tersebut menerangkan bagaimana untuk mengelakkan agar ular tersebut tidak melilit badan manusia sepenuhnya kerana jika tidak orang tersebut akan patah tulang dan seterusnya akan menjadi makanan ular sawa.

Anakku Idzham berkesempatan mengambil gambar beberapa ekor ular di pameran tersebut.
Ular Sawa

kepala Ular Sawa



Ular dari Amerika
Bilik Ular bersama Ratu Ular (seorang perempuan Melayu yang tidak terlihat di gambar ini)
Sebelum pulang sempat juga aku dan anak-anakku bergambar dengan replika ular di pintu masuk.

Idzham dengan relika kepala ular tedung

Aku bersama anakku Irfan


Rabu, 24 November 2010

SABAR JE LAH!


Setiap petang apabila aku pulang dari pejabat, aku akan mengambil anakku Idzham dan Irfan di sekolah agama Al-Hidayah, Taman Impian Ehsan, Selangor kerana mereka transit di situ sebelum pergi ke sekolah kebangsaan. Sebelum pulang ke rumah, aku akan mengira jumlah baju sekolah agama, samping, songkok, bekas air dll di dalam beg yang telah aku sediakan. Sejak ibuku tidak lagi tinggal bersamaku, mereka berdua terpaksa transit di sekolah agama tersebut.  Memandangkan peringkat awal mereka baru sahaja transit di situ, ada sahaja barang yang hilang, Pernah suatu ketika seluar sekolah agama Idzham telah hilang,  yang tinggal hanyalah baju sekolah agama sahaja. Baju sekolah agamanya pula ada dua pasang, jika satu seluar sekolah agama sudah hilang, bermakna satu pasang sahaja yang boleh digunakan.  Marah sungguh aku kepadanya kerana sikapnya yang tidak ambil kisah sedangkan baju adiknya,  Irfan tidak pernah hilang.  Dalam hatiku berdoa agar janganlah pula ada  barang Irfan yang hilang.  Sepanjang perjalanan pulang, di dalam kereta aku membebel memarahi anakku Idzham.  Rasa kecewa di atas sikapnya yang tidak kisah atau tidak bertanggungjawab ke  atas  pakaian mahupun barang-barang sekolahnya.

Sedang aku membebel kepada anakku Idzham, tiba-tiba aku mendapat satu idea bagaimana untuk mengelakkan agar bajunya tidak hilang lagi.   Aku memanggil Idzham supaya datang kepadaku. "Idzham, ibu nak bagit ahu kat idzham, bagaimana baju  Idzham tidak hilang lagi”.  Sambungku lagi..”Setiap kali Idzham hendak buka baju sekolah agama, letakkan di bawah kaki  dan pijak baju itu dengan kaki Idzham,  kemudian bila Idzham buka samping dan juga seluar sekolah agama  letakkan juga  di bawah kaki dan Idzham pijak sekali dengan baju tadi. Bila Idzham sudah selesai buka baju ambil dan kira kesemua baju yang Idzham pijak tadi mesti ada tiga helai iaitu baju, seluar dan samping”.  Satu persatu aku terangkan agar ia faham apa yang hendak aku sampaikan.  Aku terus menyambung lagi “Kemudian ketiga-tiga helai kesemuanya tadi itu, Idzham masukkan ke dalam beg baju yang ibu bawa  supaya tidak diambil oleh kawan-kawan Idzham”.  “Faham tak?:  kataku sambil memandang tepat ke matanya. Idzham menjawab dengan  lembut dan mungkin ada perasaan bersalah  “Faham Ibu”  Aku menyambung lagi “Selepas ini, Ibu tidak mahu lagi ada barang-barang Idzham yang hilang.  Idzham sepatutnya menjadi contoh kepada adik dan tunjukkan Idzham adalah lebih baik atau lebih hebat dari Irfan”.  Saja aku berkata sedemikian untuk memberinya motivasi untuk meningkatkan semangatnya kembali. 



Setelah mendengar jawapannya, di dalam hati aku berdoa kepada Allah  agar tidak berlaku lagi barang yang hilang di masa akan datang.   Idzham mendiamkan  diri  sahaja mendengar penjelasanku, mungkin ia boleh mempraktikkannya kelak.  Aku pernah bertanya kepada ustazah di situ,  kemungkinan seluarnya diambil oleh kawan-kawannya  yang menganggap seluar  itu milik mereka kerana masing-masing hendak cepat untuk menguruskan diri mereka masing-masing.  


Sampai sahaja di  rumah, aku menyuruh mereka mandi  dan mengambil wudhu sekali untuk bersembahyang.  Apabila masuk waktu maghrib,  Idzham akan bersembahyang bersama adiknya Irfan.  Aku pula sibuk mengemas rumah, memasak untuk menyediakan makan malam dan  sebagainya.   Setelah semuanya selesai kami akan makan malam bersama-sama.

Selepas makan malam pula, bila berkesempatan aku akan memeriksa buku latihan sekolah anak-anakku.  Dari satu buku latihan ke satu buku latihan yang lain dan aku akan menyemak setiap halaman.  Setiap kali aku menyemak ada saja kerja sekolah  Idzham yang tidak siap dan terpaksa menyuruhnya menyiapkannya di rumah.  Apabila aku menyuruh Idzham menyambung kerja sekolah yang tidak selesai,  dia mengatakan soalan tersebut diambil dari papan hitam yang ditulis oleh cikgunya pada hari itu. Dengan yang demikian, bermakna ia tidak boleh menghabiskan juga kerja-kerja sekolahnya yang tidak siap itu.  Mendengar penjelasan anakku itu, aku mula naik angin  sekali lagi,  kerana sikapnya yang tidak menyalin dahulu soalan yang ditulis di papan hitam itu.

Aku mula membebel kepada  Idzham.  Aku bertanya kenapa Idzham begitu lambat menulis soalan yang ditulis oleh guru di papan hitam. Idzham menjelaskan kepadaku, dia tidak berapa nampak tulisan di papan hitam itu. Aku pun bertanya lagi "Idzham kan sudah duduk di baris hadapan, Ibu sudah telefon guru kelas Idzham supaya  Idzham duduk di meja hadapankan!  Terpaksalah aku menalipon kawanku kerana anaknya satu kelas dengan Idzham dan meminta anaknya membacakan soalan yanga tidak sempat ditulis agar Idzham dapat menyelesaikan kerja sekolahnya.  Bila kerap sangat talipon kawanku itu, aku merasa malu sendiri kerana kelemahan anakku menyiapkan kerja.   Akhir sekali  aku memberikan satu lagi cadangan iaitu setiap kali gurunya menulis soalan di papan hitam, Idzham hendaklah menyalin soalan yang tidak sempat dijawab ke dalam buku nota.  Apabila balik dari sekolah, Idzham bolehlah meneruskan kerja sekolah yang tidak selesai itu.  Setakat ini cadangan itu nampaknya membuahkan hasil walaupun masih lagi ada lagi kerja sekolahnya yang tidak siap.


Akhrnya aku membuat keputusan akan membawa Idzham ke kedai cermin mata, kemungkinan matanya mungkin rabun ataupun silau sepertiku.   Semasa aku hendak pulang dari membeli barang keperluan di Econsave, Balakong, aku singgah sekejap di kedai cermin mata di dalam bangunan itu  juga dan memaklumkan kepada penjual itu supaya memeriksa mata anakku Idzham.  Setelah pemeriksaan selesai, penjual itu memaklumkan kepadaku yang Idzham memang mempunyai masalah silau yang begitu tinggi, masalah yang sama yang ku hadapi juga.


Setelah mendapat nasihat daripadanya, aku pun membuat keputusan untuk membuat cermin mata untuk Idzham.  Setelah memilih bingkai yang sesuai dengan mukanya, penjual itu memaklumkan kepadaku harga cermin mata tersebut bernilai RM290.00 setelah diambil kira kos bingkai dan power cermin mata.  Aduh! mahalnya...tetapi aku nekad dan berharap agar Idzham dapat membuat kerja sekolahnya dengan harapan tidak ada lagi perkataan tidak siap!  dari gurunya di dalam buku latihan.  dan Idzham dapat menulis soalan dengan cepat, selesa dan terang. Cermin mata itu aku ikat dengan tali yang diberi oleh penjual itu agar tidak hilang.  Malangnya tidak sampai dua bulan Idzham menggunakannya, cermin mata tersebut telah pun hilang. Idzham....Idzham....itu sahaja yang boleh aku katakan...sabar je lah...


Idzham memaikai cermin mata baru

Khamis, 4 November 2010

GALERI IDZHAM

Semasa berusia 7 bulan

Baru belajar meniarap - atas katil.

Semasa berumur 6 tahun - untuk pendaftaran sekolah darjah 1.



Bermain basikal baru di dalam rumah (Sebab rumah di Tingkat 3)

Di pagi hari raya

Semasa melawat Muzium Tentera Udara di Sungai Besi  (Pemandangan di dalam kapal terbang lama)
Posing selepas mandi di waktu pagi

Berehat selepas bermain kereta kontrol

gambar diambil selepas berjogging di Tasik Permaisuri