CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Selasa, 18 Mei 2010

MUSLIM ATAU MELAYU?

Setiap pagi sebelum anak-anakku pergi ke sekolah agama, aku akan menyediakan sarapan untuk mereka dan selebihnya akan mereka bawa bekalan.  Setelah aku selesai sembahyang subuh, aku akan menggerakkan anak-anakku bangun untuk pergi mandi.  Selalunya yang akan bangun dahulu ialah Muhammad Idzham, maklum saja abanglah katakan.  Adiknya Muhammad Irfan pula terus bangun tetapi  tidur semula di katilku sementara menunggu abangnya mandi di bilikku.  Sudah berapa kali aku menyuruhnya mandi di bilik mandi yang tengah, tetapi ia agak penakut sedikit dan tidak mahu mandi di tempat yang jauh dari abangnya. 

Sementara Idzham mandi, aku akan mengemas bilik tidurku, kemudian aku akan menyusun bantal dan melipat selimut mereka.  Walaupun rumahku mempunyak tiga bilik, tetapi anakku lebih senang tidur di ruang tamu kerana sejuk sedikit.  Selepas itu aku pun melipat tilam mereka kepada dua dan mengangkatnya ke bilik tidur mereka dan meletakkannya di atas katil (double dakker).  Kemudian baru aku mengangkat bantal dan selimut mereka pula untuk disimpan di bilik yang sama.  Memang agak memenatkan tetapi tugas tetap tugas yang perlu dilakukan setiap pagi.

Kemudian aku pun pergi ke dapur membuat sarapan yang cepat dan ringkas.  Kadang kala aku hanya membuat roti telur sahaja dan airnya pula milo kosong tanpa susu.  Kadang kala aku lebih suka goreng nuget (Ramli Burger - tempura).  Nugget itu aku letakkan di atas sekeping roti kemudian di atasnya aku letakkan  maiyones dan tomato sos, kemudian aku lipatkan dua roti tersebut.  Maka jadilah burger nugget.
Air milo kosong tadi aku masukkan ke dalam bekas air untuk mereka bawa ke sekolah nanti.  Bakinya aku tuangkan ke dalam gelas mereka.

Setelah anak-anakku mandi, mulut aku mulalah bising menyuruh mereka memakai baju dengan cepat kerana biasanya selepas mandi kedua-dua anakku suka duduk termenung sambil duduk di atas sofa.  Setelah mereka selesai memakai baju sekolah agama lengkap bersampin, aku akan menyuruh mereka sembahyang subuh dahulu. Alhamdulillah kedua-dua anakku boleh bersembahyang subuh walaupun kedua-duanya baru berumur 9 tahun dan 7 tahun.  Cuma adiknya belum pandai lagi untuk menghafal doa qunut.  Bagi memahirkannya kadang kala apabila aku sempat melihatnya sedang mengangkat tangan untuk membaca doa qunut, aku sendiri membacanya dengan kuat doa qunut disebelahnya supaya ia mengikutnya bersama-sama bacaan doa qunutku.  Mungkin kerana masa itu emas, mana yang kufikirkan baik aku buatkan juga agar anakku menjadi anak yang soleh...amin.  "Ya Allah, makbulkanlah doa hambamu ini."   Setiap pagi aku berdoa supaya doaku diperkenankan oleh Allah s.w.t.
Setelah mereka selesai sembahyang, aku menyuruh mereka duduk di meja makan untuk sarapan pagi.  Sementara anak-anakku bersarapan, aku menyiap diriku pula.  Sedang aku tengah terfikir-fikir baju mana yang akan aku pakai, terdengar perbualan mereka tentang najis dan anjing.  Aku biarkan sahaja apa yang sedang mereka bincangkan. 


Tiba-tiba terdengar adiknya menangis dan menuju ke arah bilikku.  "Ibu, abang pukul muka saya"  Kelihatan air matanya jatuh melimpah ruah di mukanya. "Sakit" sambungnya lagi.  Kebetulan di mukanya memang luka kerana dibaling batu oleh abangnya semalam semasa mandi di Sungai Tekala, di Ulu Langat.  Petang semalam baru sahaja pergi Klinik Kita di Cheras Perdana, dan doktor telah menampalkannya dengan kertas gam supaya kulitnya yang terkoyak itu bercantum semula.  Darahku mula menyirap dan terus menampar muka abangnya.  Dalam masa yang sama tiba-tiba aku teringat yang aku telah berjanji kepada diriku sendiri untuk menjadi orang yang sabar dan tidak panas baran.  Sememangnya aku seorang yang garang terhadap anak-anak dan juga seorang pemarah.  Jadi aku menahan tanganku yang hampir menyinggah di pipi anakku Idzham dengan hanya menamparnya secara perlahan agar tidak menyakitkan mukanya kerana aku lebih suka anak-anakku pergi ke sekolah dalam keadaan yang gembira dan lapang dada.

Lantas aku menarik tangan Idzham masuk ke bilik dan terus menuju ke Irfan.  Aku menyuruh Idzham meminta maaf atas apa yang berlaku.  Kemudian kedua-duanya pun berbaik kembali.
Aku pun bertanya apa puncanya pergaduhan tadi.  Abangnya memberitahu orang muslim tidak boleh memegang anjing kerana ia najis.  Adiknya pula berkata orang melayu tidak boleh memegang anjing kerana anjing itu najis. Hanya kerana perbezaan orang muslim dan orang melayu menyebabkan kedua-duanya bergaduh untuk menegakkan kebenaran masing-masing.  Kemudian aku menerangkan kepada mereka, orang melayu tidak semestinya orang muslim.  Lebih-lebih lagi di zaman sekarang sudah ada pula orang melayu kristian.  Akhirnya kedua-duanya diam mendengar peneranganku.  Subhanallah......




Tiada ulasan: