CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Rabu, 2 Jun 2010

PLAY STATION 3

Adikku yang kelima baru sahaja balik bercuti dari Australia bersama keluarganya. Setiap kali dia pergi ke mana-mana pasti ada saja ole-oleh yang akan diberikan kepada ibu dan kami adik beradik ataupun kepada anak-anak buahnya. Pada  suatu hari, aku pergi ke rumahnya di Bandar Tun Hussain Onn setelah isterinya menghubungiku agar datang ke rumah kerana ada ole-ole untuk kami.


Kebetulan hari itu adalah hari Sabtu. Selesai sahaja aku menyelesaikan kerja-kerja rumah yang sepatutnya aku buat semasa bercuti aku pun pergi ke rumah adikku bersama ibu dan anak-anakku. Sampai di sana, adik-adikku yang lain telah pun sampai lebih awal.

Sampai sahaja di sana, anak-anak adikku sibuk bermain permainan yang menggunakan Play Station 3 yang baru sahaja di beli di Australia.  Apabila anak-anakku melihat permainan yang baru itu, terus duduk dan bermain bersama-sama.  Apabila tiba aku hendak pulang, aku pun menyuruh anak-anakku berhenti.  Malangnya anakku Idzham tidak mahu pulang kerana belum puas lagi bermain.  Aku pun maklum bukan dia seorang kerana ia hanya dapat melihat sahaja, kerana anak adik aku yang menggunakannya.  Barang barulah katakan, anaknya pun belum puas untuk menggunakannya.

Puas aku mengajaknya pulang.  Idzham menunjukkan rasa tidak puas hatinya dengan menangis dan cuba membuat perangai yang menyakitkan hatiku.  Suamiku tidak mengikutku kerana ada urusannya yang tersendiri.  Aku memang tidak mahu membeli Play Station kerana dengan adanya benda itu akan maenyebabkan anak-anakku asyik bermain.   Sedangkan permainan di komputer pun mereka boleh asyik, apatah lagi jika ada Play Station. Tiba-tiba tersentuh rasa hatiku atas sikap anakku yang mula memberontak.

Aku terus pergi ke keretaku bersama anakku yang kedua dan meninggalkan anakku Idzham yang sedang menangis.  Apabila aku masuk sahaja di keretaku, kelihatan dari jauh anakku Idzham menuju ke arah keretaku dan ia masih lagi menangis.  Apabila Idzham masuk sahaja ke dalam keretaku, aku mula memarahinya kerana bersikap demikian depan orang lain.  Sehinggakan aku berkata kepadanya "Jika Idzham tidak mahu lagi bersama ibu, Idzham tinggallah dengan Pak Itam"  Pak Itam adalah gelaran kepada adikku, walaupun kulitnya gelap tetapi rezekinya terang.  Adikku merupakan antara kami yang paling berjaya kerana bekerja di Petronas dan mempunyai status yang baik dan gajinya pun belasan ribu ringgit berbanding dengan kami yang hanya bekerja kerajaan.

Aku terus lagi membebel dan berkata "Ibu orang susah, ibu tidak mampu untuk membelinya".  Tiba-tiba aku berasa sangat sedih dan menangis sepuas-puas hatiku sambil memandu kereta menuju ke rumahku.  Kedua-duanya diam sahaja.  Aku berkata lagi "Nanti bila sampai di rumah ibu akan masukkan baju Idzham ke dalam beg dan ibu hantar Idzham ke rumah Pak Itam".  

Sampai sahaja di rumah, aku terus mengambil beg dan memasukkan semua baju-baju Idzham ke dalam beg.  Tiba-tiba anakku Irfan memegang tanganku dan memohon ampun dan maaf sambil berkata "Ibu, ampunkan dosa saya,  Saya sayangkan ibu, saya tidak mahu ibu hantar abang ke rumah Pak Itam".  Terkedu aku bila anakku Irfan berkata demikian, sedangkan abangnya hanya menangis sahaja.  Dua tiga kali Irfan meminta maaf kepadaku.   Aku menjawab "Abang Idzham pun tak kisah, kenapa adik yang minta maaf".

Tiba-tiba anakku Irfan terus menarik tangan abangnya Idzham dan mengambil tangannya dan meletakkan tangan Idzham ke tanganku sambil berkata "Abang minta maaflah dengan ibu, saya tidak mahu abang tinggal dengan Pak Itam."  Abangnya menangis sambil berkata dengan suara yang tersangkut-sangkut  "Ibu, maafkan saya ibu, saya sayang ibu."  Air mataku semakin banyak mengalir keluar kerana terharu dan juga sikap anakku Irfan yang tidak aku jangka boleh bersikap demikian.

Aku terus berkata "Ibu maafkan Idzham, tapi ibu tidak suka cara Idzham itu semasa ibu mengajak Idzham balik rumah.  Harap jangan buat begitu lagi".  Aku peluk dan cium muka anak-anakku berdua...

Tiada ulasan: