CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Isnin, 17 April 2017

Kembali semula ke Asrama

Pada 9 April 2017 hari outing anakku.   Sehari sebelum itu, dia menelefonku mengatakan ia demam semula.   Hatiku kembali tidak tenang.  Selepas mengemas rumah dan sebagainya, aku bersama-sama anakku Irfan bertolak ke Port Dickson.   Sampai di sana kelihatan Idzham sedang keluar dari Dewan Makan.  Matanya sedang memerhatikan keretaku yang berhadapan dengan bangunan blok asaramanya.  Lantas ia cepat-cepat menuju ke arah ku dan terus masuk ke dalam keretaku.   Aku pegang kepala dan badannya.  Terasa panas sungguh menandakan badannya tidak sihat.  Lantas aku menyuruh ia memakan ubat panadol yang aku bawa, sementara aku akan membawanya ke klinik berhampiran.

Tiba-tiba segala makanan dan ubat yang dimakannya dimuntah kembali.  Katanya ia pening kepala.   Bila aku tanya kenapa, dia mengatakan tiada selera makan.  Sudah pasti angin sudah naik ke kepala.  Aduhhh kasihannya anakku.....


Setelah mendapat keizinan warden asrama, aku mencari klinik yang berdekatan di Port Dickson, tetapi malangnya kebanyakan semuanya tutup kerana hari Ahad.   Terus aku membawa anakku ke Hospital Kerajaan di Port Dickson.  Darah anakku diambil dan akhirnya dapatlah anakku cuti sakit selama 2 hari bermula tarikh 10/4/2017 - 11/4/2017.  Jam menunjukkan pukul 5.30 petang dan aku terus membawa anakku pulang ke rumah setelah memaklumkan kepada pihak sekolah untuk membawanya pulang.

Selepas dua hari cuti sakit, aku membawa anakku ke Klinik Kita di Cheras Perdana.  Doktor memberinya ubat antibiotik dan lain-lain dan memberi gas menurut doktor anakku semput disebabkan penyakit batuk yang tak sembuh=sembuh.  Doktor menyarankan aku membeli Pharmaton untuk memberikan kepada anakku agar ada makanan tambahan.   Dalam tempoh semingu anakku di bawah penjagaanku, ia tampak sihat dan ceria.  

Pada 16/4/2016 aku menghantar anakku kembali ke asrama.  Mukanya nampak tidak gembira tapi aku kuatkan semangatnya agar dia tabah dan kuat dalam menghadapi saat perpisahan kami buat seminggu ini.   Aku mengajak anakku ke pantai Port Dickson sementara menunggu jam 6.00 petang.  Bila aku memintanya menyiapkan diri untuk ke asrama, tampak mukanya kembali tidak ceria....Tabahkan hatimu Idzham, jangan dipersiakan pengorbanan ibu dan perpisahan ini.  Buktikan Idzham boleh berjaya demi masa depanmu jua....



Jumaat, 17 Mac 2017

Rindu Ibu Part 2

Sehari dua ini tidak pula Idzham menaliponku.  Mungkin dia sudah selesa dan punya kawan untuk lawan berborak.  Agak lega juga peasaanku mungkin dia sudah pandai menyesuaikan diari.  Tiba-tiba aku mendapat panggilan telefon daripada Idzham dan berkata ia sangat rindu kepadaku.  Libang libu rasa dalam hatiku.  Minggu itu pula tidak boleh pulang, hanya dibenarkan outing pada hari Ahad sahaja bermula jam 2.00 petang hingga 6.00 petang.  Aku pula memaklumkan kepadanya tidak ke sana pada hari yang dibenarkan outing kerana ada pertemuan antara kami adik beradik untuk membincangkan tentang pertunangan anak buahku.

Dia meminta aku membuka YM untuk dia berkata sesuatu pada malam nanti.  Selepas solat maghrib aku pun memegang telefon dan menanti YM daripada anakku.  Jam 9.00 malam baru ada YM daripadanya, mungkin selepas solat Isyak baru dia berkelapangan chat denganku.   Dalam perbualan kami, dia mengatakan hatinya sangat rindu kepadaku dan meminta gambarku.  Aku menghantar gambarku yang ada dalam koleksi di telefon bimbit.   Dia mengatakan bukan gambar di situ, tetapi sekeping gambar untuk ditatapi bagi menghilangkan rindu.   Air mataku jatuh ke pipi mengenangkan anakku yang jauh di mata.  Apa tidaknya jika kakinya terseliuh atau belakang badannya terasa sakit aku akan mengurut-ngurut kaki atau belakangnya sehingga dia tertidur.   Atau mungkin dia terasa kehilangan suaraku yang sering membebel kepadanya ketika asyik bermain games di telefon.   Aku kuatkan semangatnya dan meminta dia mengajak kawan-kawannya keluar pada hari outing tetapi dia hanya berkata insyaallah.


Selepas solat aku pun bersiap-siap untuk ke pejabat.  Tiba-tiba telefon bimbitku berdering dan kelihatan nombor telefon yang aku tahu siapa pemanggilnya. Anakku memberi salam dan aku pun menjawab salam.  Seleaps kami berbual secara ringkas dia berkata "Ibu, boleh tak datang ke sini walaupun sekejap?"  Terkedu aku mendengarnya, lantas berjujuran air mataku kerana rasa bersalah dan terharu. Terus aku mengatakan kepadanya yang aku akan ke sana untuk menemuinya.   



Selasa, 14 Mac 2017

Rindu Ibu Part 1

Sejak Idzham masuki asrama, tinggalkan Irfan seorang yang menemani aku walaupun ke mana jua.   Terasa sunyi dan kehilangan sejak ketiadaan Idzham.   Pada minggu pertama dan kedua, Idzham tidak menaliponku kerana setiap minggu aku ke sana melawatnya.   Pada minggu ketiga dan keempat pun aku masih lagi berulang alik ke sana setiap hujung minggu kerana ada urusan di sana.

Semasa Idzham dibenarkan pulang pada 3/3/2017, dia pulang sendirian tanpa ditemani kawan karibnya Adib kerana keluarganya menyewa hotel untuk bermalam di sana.  Idzham menaiki komuter di Seremban dan turun di Stesen Komputer di Sri Serdang.  Aku telah menyuruhnya pergi ke Restoran Mamak di situ, sementara menunggu aku balik dari kerja dan mengambilnya ke sana.  Petang itu, hujan turun dengan lebatnya dan ini menyebabkan jalan agak sesak menuju ke The Mines Shopping.  

Alhamdulillah sampai sahaja di sana, aku dapat meletakkan keretaku betul-betul di hadapan restoran mamak tersebut.  Mataku melilau ke sana sini mencari anakkku Idzham.  Tiba-tiba mataku terhenti dan melihat seorang remaja lelaki yang berpakaian warna oren sedang mengheret beg pakaian.  Aku memanggil namanya dan ia menoleh dan terus tersenyum kepadaku.  

Gembira hatiku melihat dia selamat pulang buat kali pertama sendirian dan sedih melihat badannya yang kurus seolah-olah tidak bermaya.  Rupanya sepanjang minggu di asrama, dia batuk-batuk.  Aku dan Idzham mengambil tempat duduk dan memesan makanan untuk kami.  Ketika aku bertanya kabar dan berbual-bual dengannya, batuknya masih tidak henti-henti menyebabkan aku berasa sungguh gusar.



Menunggu pesanan makanan yang tidak sampai


Malam itu, rumahku bising semula dengan keletah kedua-dua anakku idzham dan irfan yang asyik bercerita tentang permainan komputer.  Pagi esoknya pula aku membawa kedua-dua anakku ke rumah adikku di Saujana Impian, Kajang kerana ingin berjumpa dengan ibuku yang berada di sana.   Sempat juga Idzham membuat tugasannya yang bertajuk penyalahgunaan dadah di rumah adikku kerana di sana ada internet dan pencetak.

Keesokan harinya Idzham terpaksa pulang ke KVPD semula.   Pada mulanya aku merancang ingin menaiki komuter bersama-sama mereka sehingga ke Seremban.  Sampai di sana nanti aku akan memastikan Idzham akan menaiki bas yang menuju ke KVPD.   Tetapi aku tidak sampai hati untuk menyuruhnya balik sendirian kerana kebetulan hari itu dia  ciri-birit dan batuknya pula tidak sembuh.  Tidak sampai hatiku untuk menghantar Idzham pulang sendirian, maka aku terpaksa membawa kereta ke sana demi keselamatannya dan dia pula berkata  "Saya kena balik sendirian ke Ibu?"   Hatiku sebak mendengarnya tetapi aku sorokkan kesedihan itu daripadanya supaya dia tidak akan sedih untuk pulang ke asrama.




Aku tidak pernah memandu kereta ke Port Dickson jika tidak bersama suami.  Memandangkan suamiku tiada pada hari itu, terpaksalah aku memandu sendirian dengan berpandukan google maps.  Alhamdulillah walaupun rasa cuak tapi sampai jua aku ke sana. Sempat juga kami singgah di Tesco yang berdekatan dengan KVPD untuk membeli peralatannya di DIY.

Sebelum meninggalkannya aku memberi kata-kata semangat agar dia dapat belajar dengan tenang dan akan mengambilnya pada minggu hadapan kerana ada majlis perkahwinan di Melaka.   Dalam perjalanan pulang, aku masih lagi memerlukan temanku google map untuk mencari laluan Highwau LEKAS untuk pulang.  Walaupun masih tersasar tapi aku sampai juga ke rumah jam 8.00 malam.