Alhamdulillah sehingga kini, anakku masih dapat bertahan untuk belajar di Kolej Vokasional walaupun pelbagai rintangan diterima. Dengan cara didikan yang berbeza dari sebelum ini di rumah, anakku terpaksa menyesuaikan diri tinggal di asrama bersama-sama rakan-rakannya. Anakku ditempatkan di dom yang lain kerana warden telah mengasingkan pelajar-pelajar yang telah diketahui sebagai perokok atau tidak. Pernah juga anakku menceritakan kepadaku, kerana diketahui guru salah seorang kawannya yang merokok, warden akan mendenda mereka semua walaupun ada yang tidak terlibat.
Baru-baru ini aku dikejutkan dengan berita seorang pelajar Kolej Vokasional Port Dickson dibunuh oleh teman lelakinya. Berita itu aku ketahui daripada rakan sejawat kawanku untuk bertanyakan berita tersebut kerana dia tahu anakku belajar di sana. Aku terperanjat mendengar berita tersebut dan rakanku memaklumkan berita itu sudah disiarkan dalam berita. Mungkin aku tidak terlepas pandang. Aku cuba menghubungi anakku untuk meminta pengesahan berita yang kuterima sebentar tadi. Malangnya anakku tidak membalas wassup yang kuhantar kerana mungkin dia belum lagi membuka telefon bimbitnya.
Akhirnya dapat juga aku ketahui kedudukan sebenarnya. Mangsa yang dibunuh itu merupakan tahun akhir dan tidak lama lagi akan menjalani latihan industri. Anakku pula masih tahun kedua dan yang untungnya tahun 1 dan tahun 2 disediakan asrama bagi keluarga yang jauh dari sekolah. Tetapi tahun ketiga nanti, aku dimaklumkan hanya setengah daripada bilangan tahun 2 akan diambil untuk tinggal di asrama kerana tempat yang terhad. Pelajar yang diberi penginapan asrama akan diutamakan kepada pelajar yang mempunyai keputusan peperiksaan yang baik, aktif dalam sukan/kelab dsbnya. Aku amat mengharapkan anakku mendapat kemudahan asrama kerana sekiranya anakku tinggal di luar, kos semakin bertambah sedangkan suamiku pula akan bersara tahun hadapan. Sudah beberapa kali aku nasihatkan anakku supaya belajar bersungguh-sungguh dan libatkan diri dengan pelbagai kegiatan di sekolah agar sekolah akan memberi kemudahan tempat tinggal asrama kelak.
Berbalik semula kepada pelajar perempuan yang dibunuh tadi, rupanya dia telah keluar rumah untuk menemui teman lelakinya. Apabila dia tidak pulang ke rumah, kawan-kawannya mula risau dan mencarinya di sekitar rumah dan kebetulan kawan-kawannya terserempak dengan polis yang sedang bertugas. Akhirnya mereka terjumpa sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa terbaring di tepi jalan. Alangkah sedihnya apabila ibu dan bapanya mengetahui anak yang diharap untuk menjadi harapan masa depan sudah menemui ajal dengan cara yang amat kejam. Pelajar itu telah dicekik sehingga tidak bernyawa.
Berita tersebut telah disiarkan dalam surat khabar Kes Pembunuhan Budak Perempuan Kolej Vokasional
Kebimbangan aku mula terasa, apabila mengenangkan anakku akan menempuh ke tahun 3. Bermakna anak aku akan mendapat tempat tinggal di asarama atau sebaliknya menghantui di fikiranku. Ya Allah, kau permudahkan urusan anakku ini....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan