CURAHAN HATI IBU


Click here for Myspace Layouts

Isnin, 21 Februari 2022

COVID-19

 Selepas tamat latihan sebagai pelatih Industri di Syarikat Waaqil di Dewan Bahasa Dan Pustaka, Idzham dapat meneruskan kerja di syarikat tersebut dengan gaji bulanan sebanyak RM1,200.00.   Pada mulanya ibu setuju dan gembira,  memandangkan kerjanya sama dengan kerja² semasa praktikal.  

Biasalah dari rumah ke stesen MRT di  pekan Balakong, ibu yg menghantarnya dan bila pulang Idzham boleh menaiki bas rapid.  Pada mulanya Idzham nampak seronok dengan kerja di situ, tetapi lama kelamaan Idzham terasa berat untuk meneruskan  kerja di situ dgn alasan kaki sakit kerana terpaksa buat kerja²  penyenggaraan kedua² bangunan iaitu bangunan lama dan bangunan baru. Sehinggakan ibu hendak meminta pertolongan kerja² rumah pun agak susah pabila Idzham mengatakan penat dan kaki sakit. Aduhai.....

Bila terfikir tentang masalah Idzham serta terpaksa jalan kaki pergi dan balik dari tempat kerja stesen LRT Hang Tuah, ibu mula memikirkan tempat kerja yg paling dekat.  Kebetulan Burger King di Amerin Mall Balakong sedang mencari pekerjaan.  Lantas ibu menyuruh Idzham bekerja di situ dan mudah untuk pergi dan balik kerja.


Jumaat, 8 Jun 2018

PELAJAR KOLEJ VOKASIONAL DIBUNUH OLEH TEMAN LELAKI

Alhamdulillah sehingga kini, anakku masih dapat bertahan untuk belajar di Kolej Vokasional walaupun pelbagai rintangan diterima.   Dengan cara didikan yang berbeza dari sebelum ini di rumah, anakku terpaksa menyesuaikan diri tinggal di asrama bersama-sama rakan-rakannya.    Anakku ditempatkan di dom yang lain kerana warden telah mengasingkan  pelajar-pelajar yang telah diketahui  sebagai perokok atau tidak.  Pernah juga anakku menceritakan kepadaku, kerana diketahui guru salah seorang kawannya yang  merokok, warden akan mendenda mereka semua walaupun ada yang tidak terlibat.

Baru-baru ini aku dikejutkan dengan berita seorang pelajar Kolej Vokasional Port Dickson dibunuh oleh teman lelakinya.   Berita itu aku ketahui daripada rakan sejawat kawanku untuk bertanyakan berita tersebut kerana dia tahu anakku belajar di sana.   Aku terperanjat mendengar berita tersebut dan rakanku memaklumkan berita itu sudah disiarkan dalam berita.   Mungkin aku tidak terlepas pandang.     Aku cuba menghubungi anakku untuk meminta pengesahan berita yang kuterima sebentar tadi.   Malangnya anakku tidak membalas wassup yang kuhantar kerana mungkin dia belum lagi membuka telefon bimbitnya.

Akhirnya dapat juga aku ketahui kedudukan sebenarnya.   Mangsa yang dibunuh itu merupakan tahun akhir dan tidak lama lagi akan menjalani latihan industri.   Anakku pula masih tahun kedua dan yang untungnya tahun 1 dan tahun 2 disediakan asrama bagi keluarga yang jauh dari sekolah.   Tetapi tahun ketiga nanti, aku dimaklumkan hanya setengah daripada bilangan tahun 2 akan diambil untuk tinggal di asrama kerana tempat yang terhad.   Pelajar yang diberi penginapan asrama akan diutamakan kepada pelajar yang mempunyai keputusan peperiksaan yang baik, aktif dalam sukan/kelab dsbnya.      Aku amat mengharapkan anakku mendapat kemudahan asrama kerana sekiranya anakku tinggal di luar, kos semakin bertambah sedangkan suamiku pula akan bersara tahun hadapan.  Sudah beberapa kali aku nasihatkan anakku supaya belajar bersungguh-sungguh dan libatkan diri dengan pelbagai kegiatan di sekolah agar sekolah akan memberi kemudahan tempat tinggal asrama kelak.


Berbalik semula kepada pelajar perempuan yang dibunuh tadi, rupanya dia telah keluar rumah untuk menemui teman lelakinya.   Apabila dia tidak pulang ke rumah, kawan-kawannya mula risau dan mencarinya di sekitar rumah dan kebetulan kawan-kawannya terserempak dengan polis yang sedang bertugas.    Akhirnya mereka terjumpa sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa terbaring di tepi jalan.  Alangkah sedihnya apabila ibu dan bapanya mengetahui anak yang diharap untuk menjadi harapan masa depan sudah menemui ajal dengan cara yang amat kejam.   Pelajar itu telah dicekik sehingga tidak bernyawa.

Berita tersebut telah disiarkan dalam surat khabar Kes Pembunuhan Budak Perempuan Kolej Vokasional

Kebimbangan aku mula terasa, apabila mengenangkan anakku akan menempuh ke tahun 3.   Bermakna anak aku akan mendapat tempat tinggal di asarama atau sebaliknya menghantui di fikiranku.   Ya Allah, kau permudahkan urusan anakku ini....


Isnin, 17 April 2017

Kembali semula ke Asrama

Pada 9 April 2017 hari outing anakku.   Sehari sebelum itu, dia menelefonku mengatakan ia demam semula.   Hatiku kembali tidak tenang.  Selepas mengemas rumah dan sebagainya, aku bersama-sama anakku Irfan bertolak ke Port Dickson.   Sampai di sana kelihatan Idzham sedang keluar dari Dewan Makan.  Matanya sedang memerhatikan keretaku yang berhadapan dengan bangunan blok asaramanya.  Lantas ia cepat-cepat menuju ke arah ku dan terus masuk ke dalam keretaku.   Aku pegang kepala dan badannya.  Terasa panas sungguh menandakan badannya tidak sihat.  Lantas aku menyuruh ia memakan ubat panadol yang aku bawa, sementara aku akan membawanya ke klinik berhampiran.

Tiba-tiba segala makanan dan ubat yang dimakannya dimuntah kembali.  Katanya ia pening kepala.   Bila aku tanya kenapa, dia mengatakan tiada selera makan.  Sudah pasti angin sudah naik ke kepala.  Aduhhh kasihannya anakku.....


Setelah mendapat keizinan warden asrama, aku mencari klinik yang berdekatan di Port Dickson, tetapi malangnya kebanyakan semuanya tutup kerana hari Ahad.   Terus aku membawa anakku ke Hospital Kerajaan di Port Dickson.  Darah anakku diambil dan akhirnya dapatlah anakku cuti sakit selama 2 hari bermula tarikh 10/4/2017 - 11/4/2017.  Jam menunjukkan pukul 5.30 petang dan aku terus membawa anakku pulang ke rumah setelah memaklumkan kepada pihak sekolah untuk membawanya pulang.

Selepas dua hari cuti sakit, aku membawa anakku ke Klinik Kita di Cheras Perdana.  Doktor memberinya ubat antibiotik dan lain-lain dan memberi gas menurut doktor anakku semput disebabkan penyakit batuk yang tak sembuh=sembuh.  Doktor menyarankan aku membeli Pharmaton untuk memberikan kepada anakku agar ada makanan tambahan.   Dalam tempoh semingu anakku di bawah penjagaanku, ia tampak sihat dan ceria.  

Pada 16/4/2016 aku menghantar anakku kembali ke asrama.  Mukanya nampak tidak gembira tapi aku kuatkan semangatnya agar dia tabah dan kuat dalam menghadapi saat perpisahan kami buat seminggu ini.   Aku mengajak anakku ke pantai Port Dickson sementara menunggu jam 6.00 petang.  Bila aku memintanya menyiapkan diri untuk ke asrama, tampak mukanya kembali tidak ceria....Tabahkan hatimu Idzham, jangan dipersiakan pengorbanan ibu dan perpisahan ini.  Buktikan Idzham boleh berjaya demi masa depanmu jua....



Jumaat, 17 Mac 2017

Rindu Ibu Part 2

Sehari dua ini tidak pula Idzham menaliponku.  Mungkin dia sudah selesa dan punya kawan untuk lawan berborak.  Agak lega juga peasaanku mungkin dia sudah pandai menyesuaikan diari.  Tiba-tiba aku mendapat panggilan telefon daripada Idzham dan berkata ia sangat rindu kepadaku.  Libang libu rasa dalam hatiku.  Minggu itu pula tidak boleh pulang, hanya dibenarkan outing pada hari Ahad sahaja bermula jam 2.00 petang hingga 6.00 petang.  Aku pula memaklumkan kepadanya tidak ke sana pada hari yang dibenarkan outing kerana ada pertemuan antara kami adik beradik untuk membincangkan tentang pertunangan anak buahku.

Dia meminta aku membuka YM untuk dia berkata sesuatu pada malam nanti.  Selepas solat maghrib aku pun memegang telefon dan menanti YM daripada anakku.  Jam 9.00 malam baru ada YM daripadanya, mungkin selepas solat Isyak baru dia berkelapangan chat denganku.   Dalam perbualan kami, dia mengatakan hatinya sangat rindu kepadaku dan meminta gambarku.  Aku menghantar gambarku yang ada dalam koleksi di telefon bimbit.   Dia mengatakan bukan gambar di situ, tetapi sekeping gambar untuk ditatapi bagi menghilangkan rindu.   Air mataku jatuh ke pipi mengenangkan anakku yang jauh di mata.  Apa tidaknya jika kakinya terseliuh atau belakang badannya terasa sakit aku akan mengurut-ngurut kaki atau belakangnya sehingga dia tertidur.   Atau mungkin dia terasa kehilangan suaraku yang sering membebel kepadanya ketika asyik bermain games di telefon.   Aku kuatkan semangatnya dan meminta dia mengajak kawan-kawannya keluar pada hari outing tetapi dia hanya berkata insyaallah.


Selepas solat aku pun bersiap-siap untuk ke pejabat.  Tiba-tiba telefon bimbitku berdering dan kelihatan nombor telefon yang aku tahu siapa pemanggilnya. Anakku memberi salam dan aku pun menjawab salam.  Seleaps kami berbual secara ringkas dia berkata "Ibu, boleh tak datang ke sini walaupun sekejap?"  Terkedu aku mendengarnya, lantas berjujuran air mataku kerana rasa bersalah dan terharu. Terus aku mengatakan kepadanya yang aku akan ke sana untuk menemuinya.   



Selasa, 14 Mac 2017

Rindu Ibu Part 1

Sejak Idzham masuki asrama, tinggalkan Irfan seorang yang menemani aku walaupun ke mana jua.   Terasa sunyi dan kehilangan sejak ketiadaan Idzham.   Pada minggu pertama dan kedua, Idzham tidak menaliponku kerana setiap minggu aku ke sana melawatnya.   Pada minggu ketiga dan keempat pun aku masih lagi berulang alik ke sana setiap hujung minggu kerana ada urusan di sana.

Semasa Idzham dibenarkan pulang pada 3/3/2017, dia pulang sendirian tanpa ditemani kawan karibnya Adib kerana keluarganya menyewa hotel untuk bermalam di sana.  Idzham menaiki komuter di Seremban dan turun di Stesen Komputer di Sri Serdang.  Aku telah menyuruhnya pergi ke Restoran Mamak di situ, sementara menunggu aku balik dari kerja dan mengambilnya ke sana.  Petang itu, hujan turun dengan lebatnya dan ini menyebabkan jalan agak sesak menuju ke The Mines Shopping.  

Alhamdulillah sampai sahaja di sana, aku dapat meletakkan keretaku betul-betul di hadapan restoran mamak tersebut.  Mataku melilau ke sana sini mencari anakkku Idzham.  Tiba-tiba mataku terhenti dan melihat seorang remaja lelaki yang berpakaian warna oren sedang mengheret beg pakaian.  Aku memanggil namanya dan ia menoleh dan terus tersenyum kepadaku.  

Gembira hatiku melihat dia selamat pulang buat kali pertama sendirian dan sedih melihat badannya yang kurus seolah-olah tidak bermaya.  Rupanya sepanjang minggu di asrama, dia batuk-batuk.  Aku dan Idzham mengambil tempat duduk dan memesan makanan untuk kami.  Ketika aku bertanya kabar dan berbual-bual dengannya, batuknya masih tidak henti-henti menyebabkan aku berasa sungguh gusar.



Menunggu pesanan makanan yang tidak sampai


Malam itu, rumahku bising semula dengan keletah kedua-dua anakku idzham dan irfan yang asyik bercerita tentang permainan komputer.  Pagi esoknya pula aku membawa kedua-dua anakku ke rumah adikku di Saujana Impian, Kajang kerana ingin berjumpa dengan ibuku yang berada di sana.   Sempat juga Idzham membuat tugasannya yang bertajuk penyalahgunaan dadah di rumah adikku kerana di sana ada internet dan pencetak.

Keesokan harinya Idzham terpaksa pulang ke KVPD semula.   Pada mulanya aku merancang ingin menaiki komuter bersama-sama mereka sehingga ke Seremban.  Sampai di sana nanti aku akan memastikan Idzham akan menaiki bas yang menuju ke KVPD.   Tetapi aku tidak sampai hati untuk menyuruhnya balik sendirian kerana kebetulan hari itu dia  ciri-birit dan batuknya pula tidak sembuh.  Tidak sampai hatiku untuk menghantar Idzham pulang sendirian, maka aku terpaksa membawa kereta ke sana demi keselamatannya dan dia pula berkata  "Saya kena balik sendirian ke Ibu?"   Hatiku sebak mendengarnya tetapi aku sorokkan kesedihan itu daripadanya supaya dia tidak akan sedih untuk pulang ke asrama.




Aku tidak pernah memandu kereta ke Port Dickson jika tidak bersama suami.  Memandangkan suamiku tiada pada hari itu, terpaksalah aku memandu sendirian dengan berpandukan google maps.  Alhamdulillah walaupun rasa cuak tapi sampai jua aku ke sana. Sempat juga kami singgah di Tesco yang berdekatan dengan KVPD untuk membeli peralatannya di DIY.

Sebelum meninggalkannya aku memberi kata-kata semangat agar dia dapat belajar dengan tenang dan akan mengambilnya pada minggu hadapan kerana ada majlis perkahwinan di Melaka.   Dalam perjalanan pulang, aku masih lagi memerlukan temanku google map untuk mencari laluan Highwau LEKAS untuk pulang.  Walaupun masih tersasar tapi aku sampai juga ke rumah jam 8.00 malam.



Jumaat, 29 November 2013

Peperiksaan UPSR dan UPSRA

Tahun ini Idzham dalam darjah enam.  Tahan ini juga dia akan mengambil peperiksaan UPSR.   Setiap hari Isnin, aku akan mengambil soalan UPSR dalam surat khabar Berita Harian yang terkenal dalam ruangan DIDIK.  Soalan Bahasa Melayu, Sains dan Matematik merupakan mata pelajaran teras amat ditekankan olehku.  
Setiap minggu aku akan mengajar sendiri mata pelajaran tersebut.  Untuk menghantar Idzham mengambil tusyen memang agak sukar, memandangkan aku dan anak-anakku sampai ke rumah hampir senja.  Bila kala aku hendak masak untuk makan malam, sembahyang maghrib,  Idzham pula akan cepat mengantuk kerana keletihan walaupun jam baru 9.00 malam. Kelas tusyen pula biasanya akan bermula jam 8.00  malam.  Memandangkan keadan yang sedemikian, aku nekad untuk mengajar Idzham sendiri. Walaupun begitu, setiap minggu, sekolah Idzham ada menyediakan kelas tambahan untuk pelajar tahun 6 yang akan mengambil peperiksaan UPSR.
Setiap kali sebelum aku mengajarnya dalam apa jua mata pelajarannya, aku akan rujuk terlebih dahulu teksnya agar selari dengan cara pembelajarannya. Lama-kelamaan aku semakin letih untuk mengejar masa.  Anakku pula semakin hebat bermain games di PS2, mahupun di PC. Sememangnya di rumahku ada dua  PC. Bukanlah kerana aku banyak duit, tetapi aku membelinya di pejabat semasa komputer itu hendak dihapuskira.  Komputer itu masih baik lagi kerana kebetulan tahun itu staf dibekalkan komputer yang terkini.  Satu lagi PC diberikan oleh adikku kerana ia hendak membeli yang baru.  Screennya lebar  23" dan lebih laju daripada yang PC yang pertama.
Semasa aku pergi membeli barangan dapur di Econsave Balakong, Seorang promoter Astro menawarkan pemasangan Astro secara percuma dengan syarat aku melanggan dengannya.  Aku memberitahunya, yang anakku akan leka menonton Astro sedangkan tahun ini ia akan mengambil pepeariskaan UPSR.  Aku juga dimaklumkan oleh promoter Astro,  setiap hari ada rancangan akademik untuk pelajar yang mengambil peperiksaan UPSR.  Dalam aku mencongak-congak, aku rasa ini adalah cara yang terbaik untuk anakku belajar di rumah jika  aku tidak dapat mengajarnya.  Akhirnya aku bersetuju untuk melanggan Astro.  Semasa rancangan pembelajaran itu, kadang kala aku juga menonton sekali dan aku akan memberi sedikit penerangan tambahan untuk makluman anakku itu.
Semasa peperiksaan percubaan UPSR Idzham cuma dapat keputusan 3B dan 2C sahaja.  Sebelum inipun keputusan peperiksaannya tidaklah secemerlang mana pun.  Yang dapat A semuanya bukan mata pelajaran teras.  Aku pun tidak mengharap sangat, tapi yang penting aku telah usaha sedaya mungkin.  Nampaknya bukan anakku yang berusaha, tetapi ibunya yang lebih-lebih. Hahahaha...
Peperiksaan semakin hampir.  Walaupun begitu, aku tidak cukup masa jua untuk melihat semuanya kerana tugas harianku yang tidak berkurangan sedikit pun. Anakku Irfan pula asyik semput dan demam sejak akhir-akhir ini. Bila ia demam, terpaksalah aku memberi perhatian yang lebih kepadanya. 
Kebetulan di pejabatku, ada penjual yang menjual jus kismis. Aku membeli jus kismis untuk anakku Idzham. Kismis merupakan buah yang amat baik dan merangsang minda. Semasa  Peperiksaan UPSR akan menjelang 2 - 3 bulan lagi, aku juga membeli supleement tambahan produk Shaklee daripada kawanku.  Nasib baik ia memberikanku harga ahli lebih kurang harganya RM92.00. Selebihnya aku tawakkal kepada Allah s.w.t.  Untuk sekolah agamanya pula langsung aku tidak sempat untuk melihat dan mengajarnya mana yang boleh aku bantu. Sekali lagi aku bertawakal kepada Allah agar dapat menolongku dan membantu anakku agar mudah untuk menerima ilmu yang diajarkan oleh gurunya.
Hari yang dinanti telah pun tiba.  Aku mengambil cuti rehat selama 4 hari untuk memberikan semangat kepada anakku Idzham.  Sepanjang ia mengambil peperiksaan UPSR itu, aku berdoa dari rumah agar ia dipermudahkan oleh Allah s.w.t. untuk menjawab soalan yang diberikan. Sebelum hari peperiksaan, aku juga mendapat tips dari rakan sepejabatku untuk membantu anak-anak yang sedang menghadapi peperiksaan. 




Selesai sahaja peperiksaan UPSR, aku fokuskan sedikit sebanyak masa yang ada (tidak sampai 2 minggu pun) untuk peperiksaan UPSRA pula.    Aku hanya sempat memberi sedikit tunjuk ajar, dan lebih malang lagi kerana tidak dapat mengambil cuti lagi kerana tahun ini cuti aku hanya tinggal 6 hari sahaja.   Sekali lagi aku bertawakal kepada Alah s.w.t. 
Selesai sahaja peperiksaan UPSR, aku fokuskan sedikit sebanyak masa yang ada (tidak sampai 2 minggu pun) untuk peperiksaan UPSRA pula.    Aku hanya sempat memberi sedikit tunjuk ajar, dan lebih malang lagi kerana tidak dapat mengambil cuti lagi kerana tahun ini cuti aku hanya tinggal 6 hari sahaja.   Sekali lagi aku bertawakal kepada Alah s.w.t. 
Keputusan UPSR telah dimaklumkan akan dikeluarkan pada 16 November  2013.  Sebelum menghantar Idzham ke sekolah, sempat aku memberitahunya, walau seburuk mana sekalipun keputusannya jangan sedih, kerana kita telah berusaha dan Allah telah menentukan segalanya untuk memberikannya semangat.  Sebelum keluar dari kereta, aku menyuruh anakku menghubungiku kerana aku juga tidak sabar untuk mengetahui keputusan peperiksaannya.  Sepanjang aku memandu kereta ke pejabat,  aku masih berdoa agar anakku akan mendapat keputusan yang baik.Jam sudah menunjukkan pukul 11.00 pagi.  Idzham belum lagi menghubngiku.   Kawanku memaklumkan kepadaku anaknya mendapat 2A 3B.  Pengarahku juga memberitahuku anakku mendapat 5A dan UPSRAnya juga mumtaz.   Hatiku semakin cuak dan menyangka anakku tidak mahu menghubungiku kerana keputusannya yang tidak cemerlang.  Jam 11.15 pagi, aku terima panggilan dari anakku. Permulaan katanya ialah "Ibu jangan marah ya..Idzham dapat 3A 2C saja"  Aku terus mengatakan kepadanya "Alhamdulillah.....syukur..ibu tak marah, tapi ibu gembira"  Aku sendiri tidak menyangka Idzham  boleh mendapat 3A iaitu bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan Pemahaman.  

Syukur Ya Allah, sesungguhnya Kau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...amin...

Rabu, 20 November 2013

TAHAN IBU!

Sudah seminggu gigi graham bawahku sakit.  Pada mulanya aku pergi ke sebuah dentis dan doktor tersebut telah menyimen gigi aku.  Tapi cara dia menyimen sudahlah tidak cantik, lepas itu pula gigi aku masih lagi sakit.  Dua minggu selepas itu aku pergi ke dentis lain pula.  Doktor tersebut telah membuka simen tersebut dan membuang simen yang ada.  Doktor ini pula membuat lubang yang agak besar sedikit dan menampal semula gigiku.